Monday, December 9, 2013

ulasan buku 'penjajah barat mengancam' (maryam jameelah)

baru-baru ni utk program PITO aku, lecturer bagi tugasan book review, tp mesti buku sejarah..

so aku g library UPSI dgn semangatnya lalu terjumpala buku 'penjajah barat mengancam', yang ditulis oleh maryam jameelah, seorg sarjana Islam yg terkenal (tp aku xkenal, biler baca buku ni baru kenal.. (-_-) )

SO INILAH SEDIKIT SEBANYAK ULASAN YANG TELAH AKU TULIS DENGAN JAYANYA, PANJANG GILERRR... huhuhuhuhu dah siap, alhamdulillah....



Penulis                         : Maryam Jameelah
Penterjemah                : Wan Jaffree Bin Wan Sulaiman
Penerbit                       : Moon Island Trading, 278, Kampung Perlis, 11000, Balik Pulau, Pulau   Pinang
Cetakan Pertama         : Januari 1988
Jumlah Halaman          : 56 mukasurat
Tajuk                           : Penjajah Barat Mengancam

1.0  PENGENALAN

Buku “Penjajah Barat Mengancam” adalah hasil karya Maryam Jameelah, seorang sarjana Islam yang telah diterjemahkan oleh Wan Jafree Bin Wan Sulaiman. Maryam Jameelah merupakan seorang muslimah yang berjaya membebaskan dirinya dari belenggu penjajahan.
     
Sebelum ulasan lanjut dibuat tentang buku ini, latar belakang Maryam Jameelah disentuh terlebih dahulu. Maryam Jameelah lahir di kotaraya New York, Amerika Syarikat dan dibesarkan di Westchester. Sebelum memeluk Islam, namanya ialah Margaret Marcus dan beliau ialah seorang wanita berketurunan Yahudi Jerman. Beliau menerima pendidikan sekular di sekolah-sekolah awam tempatan. Beliau merupakan penuntut yang pintar dan mempunyai minat yang mendalam terhadap ilmu agama, ilmu falsafah, ilmu sejarah, ilmu kaji manusia, ilmu kemasyarakatan dan ilmu kaji hayat.

Selepas tamat sekolah menengah, beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti New York tetapi tidak dapat menghabiskan pengajiannya akibat sakit tenat selama 2 tahun. Selepas sembuh, beliau mula menyedari bakat menulis yang ada padanya dan mula mencari kebenaran dan kebebasan.  Akhirnya beliau memilih Islam sebagai cara hidup. Beliau mula menimba ilmu dan kesedaran terutamanya daripada Almarhum Maulana Maududi dengan cara berbalas surat sesama mereka. Beliau kemudiannya berhijrah ke Pakistan atas jemputan Maududi, dan kemudian berkahwin dengan Muhammad Yusuf Khan. Selepas berkahwin, beliau terus aktif menghasilkan karya-karya berupa makallah dan buku-buku Islam.

2.0  ULASAN BUKU ‘PENJAJAH BARAT MENGANCAM’

Buku ini menceritakan mengenai pandangan Maryam Jameelah, terhadap penjajah Barat dan tipu daya mereka. Dalam Bab 1 buku ini, Maryam menyimpulkan bahawa penjajahan Eropah tidak pernah berakhir walaupun Negara-negara Asia dan Afrika telah memperolehi kemerdekaan politik. Pada masa kini, penjajahan sebenarnya masih berlaku tetapi dengan cara yang berlainan.

Pada waktu dulu, penjajah menggunakan alasan-alasan seperti ‘penjajahan adalah kewajipan bagi bangsa kulit putih’, ‘penjajahan ialah usaha agama Kristian membawa cahaya kepada hutan belantara liar’, ‘penjajahan bertujuan memperkenalkan nilai-nilai mulia yang ada pada bangsa kulit putih’ dan pelbagai lagi alasan yang dicipta oleh penjajah dari Barat untuk ‘membenarkan’ penjajahan dilakukan.

Kini, alasan-alasan tersebut dikenali dengan nama baru seperti ‘pembaratan’, ‘permodenan’, ‘sekularisasi’ dan ‘bantuan asing’. Semua pendekatan yang dicipta ini sebenarnya hanya mempunyai satu maksud, iaitu ‘penjajahan’, cuma ia bukan dalam bentuk yang disedari orang ramai. Ini bermaksud kita masih dijajah, walaupun sudah mencapai kemerdekaan.

Penulis menambah lagi bahawa tujuan penjajahan oleh bangsa Eropah ialah untuk menghapuskan kebudayaan bangsa lain, menindas orang bukan Eropah dan bukan kulit putih ke taraf yang rendah, juga untuk menjadikan kebudayaan Eropah sebagai kebudayaan dunia.

Bab 2 buku ini pula berkisar tentang proses pembaratan yang berlaku dengan pantas selepas Perang Dunia Ke-2. Malahan kuasa-kuasa penjajah lain seperti Belanda dan Sepanyol telah digantikan oleh Amerika dan Rusia. Tiada satu pun kerajaan negara dunia ke-3 yang dapat mengekalkan kuasanya tanpa persetujuan atau sokongan dari Amerika atau Rusia. Ini adalah bukti kukuh bahawa kemerdekaan negara-negara Asia dan Afrika tidak pernah benar-benar berlaku.

Realitinya, hampir semua keperluan ekonomi dan ketenteraan negara-negara muslim bergantung kepada Amerika dan Rusia. Buktinya, orang-orang Palestin masih tidak dapat merampas kembali kebebasan mereka, negara-negara Arab pula tidak dapat melindungi kawasan mereka daripada dicerobohi oleh pihak Zionis Israel kerana tindakan Israel mendapat restu dan jaminan dari Amerika dan Russia. Pakistan pula dapat mempertahankan diri dari serangan India sehinggalah Amerika campurtangan dan mengakibatkan perpecahan negara Pakistan pada 1971 akibat dari penandatanganan ‘pengisytiharan Tashkent’

Bagi Maryam, penghijrahan orang Islam ke Eropah dan Amerika kerana mengejar kerja dengan gaji lumayan adalah salah satu bentuk penjajahan yang berlaku secara tidak langsung. Ini kerana orang Barat bersifat perkauman terhadap orang bukan Barat. Contohnya, di Amerika Syarikat, doktor-doktor yang bukan dari Amerika, hanya dibenarkan bekerja di hospital psikiatri walaupun mereka memiliki kepakaran yang tinggi.

Banyak lagi contoh lain mengenai penjajahan Amerika dan Rusia yang diselitkan dalam tulisan beliau, contohnya selama berabad, para pelukis dan penyair di China menimba ilham dari kecantikan bumi mereka. Tapi kini citarasa orang China telah dicemari dengan ciri-ciri Disneyland.

Tetapi masih ada yang tegar menentang penjajahan Barat. Contohnya orang-orang Islam Filipina Selatan yang sudah lebih 300 tahun berperang dengan penjajah Sepanyol, kemudian Amerika dan kini Kristian Filipina yang merupakan warisan dari Barat.

Bab 3 menceritakan secara umum tentang asal-usul bangsa Eropah dan keinginan mereka untuk menjajah dunia. Permulaan kegiatan penjajahan orang Eropah adalah apabila mereka merampas 3 benua utama iaitu Amerika Utara, Amerika Selatan dan Australia dan menghapuskan penduduk asal benua-benua tersebut. Afrika Selatan dan Israel juga termasuk dalam agenda penjajahan mereka. Zaman Pertengahan merupakan permulaan Eropah berhubung dengan dunia lain (memulakan penjajahan). Lima Negara Eropah yang kecil; Portugal, Sepanyol, Belanda, Perancis dan Britain mula menghantar peneroka, pedagang, penakluk dan pengembang agama Kristian kepada dunia lain yang kononnya ‘tidak bertamadun’ ataupun ‘liar’. Jika orang-orang yang ‘tidak bertamadun’ ini tidak mahu menerima kedatangan Eropah, mereka akan diganggu, ditindas dan dipaksa menerima nilai yang dibawa dengan apa sahaja cara yang boleh dilakukan.

Pada kurun ke-18 dan ke-19 Masihi, pola penjajahan orang Eropah ini berulang-ulang; iaitu bermula dengan penerokaan,  pendudukan, penindasan, perampasan tanah, pengurangan jumlah penduduk tempatan dan paksaan untuk menerima agama dan cara hidup bangsa Eropah. Penjajahan bermula di laut kemudian ke benua dan pulau-pulau.  Banyak penduduk asal tempat jajahan Eropah mati kerana penyakit-penyakit yang sengaja dibawa oleh orang Eropah seperti campak, batuk kering, cacar dan kusta. Kuman-kuman penyakit ini telah disapu pada kain yang seterusnya dihadiahkan kepada penduduk tempatan. ‘Perang Kuman’ sebegini pernah berlaku di Amerika Utara, Australia dan Amerika Selatan. Tujuannya cuma satu, menghapuskan penduduk asal tempat jajahan yang dianggap ‘liar’ oleh mereka. 

Bab 4 buku ini adalah mengenai Raja James Pertama, yang berada di kawasan Celtic di England. Beliau bertanggungjawab memulakan era kuasa penjajah yang paling kuat, iaitu penjajah Inggeris. Pada 1603 Masihi, Raja James memulakan usaha penjajahannya di Kepulauan Hebrides yang terletak hampir dengan pantai barat Scotland. Beliau meluluskan Syarikat Penjajah yang pertama yang berperanan mengambil-alih kawasan yang menggunakan bahasa Celtic, termasuklah Scotland. Tujuan sebenar Raja James adalah ingin menguasai bumi Celtic yang subur dan luas. Raja James melakukan penindasan terhadap orang-orang Scottish, Welsh dan Irish (orang Celt) atas alasan mereka mundur dan kolot. Kesemua penduduk asli negeri tersebut bangkit menentang usaha Raja James. Pada tahun 1649 - 1653, Oliver Cromwell datang ke Ireland untuk menghancurkan seluruh adat resam dan amalan keagamaan orang-orang Irish (orang Inggeris – mazhab Protestant, orang Irish – mazhab Katolik). Untuk itu, 90 ribu orang Irish telah dihantar ke Hindia Barat dan dipaksa menjadi hamba di New England. Sejuta orang Irish lagi dibunuh di Ireland. Setiap orang dipaksa menganut mazhab Protestant. Tanah-tanah di Scotland pula diambil dengan alasan ingin ‘dimajukan’.

Seterusnya, Bab 5 buku ini menyentuh mengenai cara penjajahan Raja James dan Oliver Cromwell terhadap penduduk asli Amerika Utara dan Selatan. Orang-orang asli Amerika telah menjadi mangsa penjajahan kerana mendiami tanah yang subur yang sangat diingini oleh bangsa kulit putih ini. Orang-orang asli ini dihalau ke tanah simpanan yang kering-kontang. Seperti orang Celt di Britain, penduduk asli Amerika ini juga menentang penjajahan ini. Tetapi pada tahun 1763, tentera British datang membantu penjajah Inggeris. Mereka telah menyerang binatang yang menjadi sumber makanan utama penduduk dan memusnahkan pakaian dan khemah penduduk asli ini. Pemburuan terhadap orang asli ini dilakukan seperti memburu binatang, mereka dibunuh tanpa mengira jantina dan umur. Orang asli yang masih hidup ditahan dalam perkhemahan tahanan perang dan dijadikan mangsa minuman keras, penyakit dan kebuluran. Pada 1890, di ‘Wounded Knee’ (kawasan di Dakota Selatan), 300 orang asli dibunuh beramai-ramai, lalu mematahkan perjuangan orang asli Amerika Utara.

Pada 24 September 1977, ‘The Pakistan Times’, melaporkan dalam artikel ‘America and Brazil Accused of Genocide’, mengenai Pengerusi Majlis Orang Asli Amerika, Russel Weans, yang menyuarakan rasa tidak puas hati di Persidangan Penindasan Penduduk Asli di Geneva dan menuduh Amerika sengaja mengurangkan bilangan orang asli dengan melakukan pemandulan ke atas kaum wanita orang asli dengan cara yang tersembunyi. Kaum wanita yang mendapatkan rawatan untuk penyakit di hospital telah dimandulkan tanpa mereka sedari.

Perdagangan hamba orang-orang Afrika telah berjalan selama lebih 400 tahun. Selepas dijajah oleh kuasa-kuasa Eropah ini, lebih 100 juta orang Afrika dipindahkan melalui kapal laut, dibogelkan, dicap dengan besi panas dan disumbat dalam ruang kapal yang sangat sempit, sehingga ramai yang mati sebelum sampai ke destinasi. Apabila sampai di Amerika, mereka dikerah menjadi hamba dan dilayan dengan kejam. Hamba wanita pula dirogol oleh tuan mereka. Maryam menyatakan walaupun ‘Pengisytiharan Pembebasan’ (Emancipation Proclamation) telah dibuat seratus tahun yang lalu, orang kulit hitam berketurunan hamba ini masih menduduki taraf yang rendah dan menjadi golongan minoriti terbesar di Amerika Syarikat.

      Bab 6 adalah mengenai penjajahan Eropah terhadap orang asli di Australia. Pada awal dahulu, lebih kurang 300 ribu orang asli menduduki Australia. Mereka menganut agama Totemisma, iaitu agama yang berasaskan tafsiran tentang makhluk, alam dan manusia. Penjajah Eropah yang ingin menakluki tanah yang subur di Australia telah mengusir orang asli ke pedalaman yang kering-kontang. Ini menyebabkan ramai yang terkena penyakit dan mati. Kekejaman penjajah Eropah ini berlarutan dengan pelbagai cara, antaranya, telaga air dirampas, binatang buruan dibunuh, isteri-isteri dirogol, kanak-kanak dihantar ke Sekolah Zending Kristian dan hampir seluruh penduduk asli dijadikan buruh. Sehingga kini, sikap perkauman terhadap penduduk asli Australia masih berlaku sehingga disediakan tempat duduk khas untuk penduduk asli dalam panggung wayang. Terdapat kedai-kedai yang melarang kemasukan orang asli Australia kerana mereka dianggap ‘kotor’ dan ‘berbau’.

Bab 7 menyentuh tentang penjajahan Eropah ke atas benua Asia dan Afrika. Contohnya, penjajahan oleh Rusia ke atas orang Islam di Timur Tengah iaitu di Turkistan. Sebelum revolusi Komunis, 50 juta orang tinggal di Turkistan. Antaranya tokoh-tokoh Islam yang terkenal seperti Imam Bukhari, Al-Farabi, Ibnu Sina dan Al-Khwarizmi. Mereka telah banyak mendirikan madrasah dan sekolah agama. Pada kurun ke-15 Masihi, Rusia berada di bawah pemerintahan Raja Ivan Si Kejam (Ivan The Terrible) dan ini menggalakkan lagi penjajahan secara kejam diteruskan. Rusia telah menakluk negeri-negeri Islam di Timur Tengah. (kawasan antara Sg. Volga dan Asia Tengah). Semasa penjajahan berlaku, komunis melarang orang Islam mengamalkan Islam, masjid dijadikan muzium dan rumah kelab, ibadat Haji diharamkan, Lenin dan Stalin menjalankan penangkapan dan pembunuhan beramai-ramai, orang Islam diusir ke Siberia dan dijadikan buruh, bahasa ibunda dan tulisan Arab diharamkan. Selepas penjajahan dijalankan, Rusia telah membahagikan Turkistan kepada dua, iaitu Turkistan Barat yang dimiliki oleh Rusia dan Turkistan Timur (kini dipanggil Sinkiang) yang diberi kepada China. Di Afrika pula, penjajah Eropah bekerjasama dengan Pertubuhan Pengembang Agama Kristian untuk mengadakan gangguan ekologi (menyuntik lembu dan menggali telaga) di Sahel (satu kawasan di Afrika) dan ini telah menyebabkan kebuluran kepada penduduk di situ. Penduduk Islam yang berada di Sahel menjadi miskin dan terpaksa bergantung kepada pihak Barat Kristian untuk sesuap nasi.

Bab 8 pula menyatakan bahawa pertikaian antara Arab dan Israel adalah ‘peperangan untuk menegakkan penjajahan’. Pengasas Zionisma moden, Theodor Herzl menegaskan Gerakan Zionis merupakan satu gerakan moden yang akan memperkenalkan tamadun Barat kepada dunia Timur yang dianggap ‘berpenyakit’. Pada tahun 1949 – 1950, selepas tertegaknya Israel, orang Yahudi Timur yang miskin dari Arab dibawa masuk ke dalam Israel. Mereka dijadikan tentera biasa dan buruh kasar. Yahudi Eropah yang berkulit putih menikmati kesenangan, tetapi Yahudi Timur yang berkulit gelap memenuhi kawasan setinggan. Yahudi Timur yang miskin ini mendapat layanan yang buruk sepertimana keadaan yang dialami orang kulit hitam di Amerika.

Bab 9 adalah mengenai kesan penjajahan terhadap negara-negara yang dijajah. Betapa kuatnya kesan yang ditinggalkan oleh penjajah Eropah sehingga ada negara yang pernah dijajah mula meniru sikap mereka, iaitu mula memiliki keinginan untuk menjajah sesama mereka. Contohnya, India pernah cuba menjajah Kashmir dan China pula menjajah Tibet dan Turkistan Timur (Sinkiang). Maryam menyatakan satu lagi peninggalan penjajah yang terbesar adalah bahasa Inggeris. Penjajah Eropah percaya bahasa adalah ciri penting dalam satu tamadun jadi mereka cuba menyebarkan bahasa mereka ke seluruh dunia. Ini terbukti pada 1972, mereka menghantar 810 orang guru Bahasa Inggeris ke negara-negara mundur seperti Oman, El Salvador dan dari Pakistan ke Nigeria. Ini adalah salah satu bentuk penjajahan minda secara tidak langsung. Majlis British memperuntukkan banyak wang untuk mengajar Bahasa Inggeris di Asia dan menegaskan Bahasa Inggeris adalah bahasa bagi kerja yang baik dan ciri penting untuk mencapai kemajuan sains, teknologi dan ekonomi. Kesannya, terdapat pusat pengajian yang menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Malahan, terdapat negara-negara di Asia dan Afrika yang menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi.

Dalam Bab 10, Maryam menggesa supaya bahasa ibunda sesebuah negara itu harus digunakan sebagai bahasa pengantar/rasmi di sekolah, dalam bidang sains dan dalam semua bidang. Penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi/pengantar harus dihentikan. Ini adalah cara terbaik untuk menghentikan penjajahan minda dari segi bahasa yang dilakukan oleh penjajah Eropah. Dalam 5 abad penjajahan Eropah berlangsung, bahasa asli Amerika Utara, Amerika Selatan, Australia dan Afrika hampir pupus dan digantikan dengan bahasa Inggeris.

Maryam menyatakan dalam Bab 11 bahawa senjata utama Tamadun Barat adalah melalui corak pendidikan, muzik, penagihan dadah, jenayah dan alat sebaran media seperti radio, televisyen, filem dan akhbar. Pakar pengkaji jenayah Turki menyalahkan pengaruh Barat ekoran kadar jenayah di Turki yang semakin bertambah. Beliau menambah lagi, filem-filem dari Amerika yang banyak berunsur keganasan dan jenayah juga mempengaruhi kadar peningkatan jenayah di Turki.

Dalam bab terakhir buku ini, Maryam menyeru kepada seluruh Asia dan umat Islam untuk bangkit menentang penjajahan dengan cara yang bijak. Tetapi Maryam lebih menekankan kepada perlunya umat Islam seluruh dunia untuk kembali kepada ajaran Islam, al-Quran dan As-sunnah. Ini kerana ramai para cendekiawan Islam lebih takutkan Amerika dan Rusia berbanding takut pada Tuhan. Dunia ini memerlukan pemimpin yang berani, takut kepada Tuhan dan memandang akhirat lebih penting dari keduniaan yang fana ini. Bagi Maryam, kekuatan rohani adalah ubat yang paling mujarab untuk memelihara diri dari penyakit Barat yang telah menular dan masih menular ke seluruh dunia hingga sekarang.

3.0  KEKUATAN DAN KELEMAHAN BUKU ‘PENJAJAH BARAT MENGANCAM’ KARYA MARYAM JAMEELAH

Kekuatan karya Maryam Jameelah ini ialah ayat yang digunakan ringkas dan mudah difahami. Penulis juga menggunakan bahasa yang selalu dibaca dan diketahui maksudnya oleh semua golongan masyarakat. Tiada istilah yang terlalu kompleks atau sukar difahami. Penterjemahan yang dilakukan oleh Wan Jaffree tidak mengecewakan. Bab-bab di dalam buku beliau disusun dengan teratur dan jalan cerita yang ditulis adalah menarik untuk dibaca. Walaupun hanya 56 mukasurat, buku ini mempunyai banyak pengetahuan yang boleh diambil dari buah fikiran dan pengalaman Maryam yang memang mengalami hidup di New York untuk memahami makna sebenar penjajahan. Banyak fakta-fakta yang mengejutkan tentang agenda tersembunyi Barat terhadap dunia. Contohnya, gangguan ekologi yang sengaja dilakukan oleh Barat ke atas kawasan Sahel di Afrika, kekejaman amalan perhambaan, perang kuman, kezaliman Raja James dan Oliver Cromwell, penghapusan penduduk asli yang sangat zalim dan pelbagai lagi fakta yang menarik. Bab demi bab juga tidak mendatar. Setiap bab menyentuh isu yang berlainan, tetapi berkisarkan pada satu tema, iaitu kezaliman penjajah Barat dan agenda mereka untuk menguasai dunia. Ini menyebabkan pembaca akan mempunyai rasa teruja untuk meneruskan pembacaan kerana ingin mengetahui kelainan isu yang diketengahkan dalam setiap bab. Buku ini tidak akan menimbulkan kebosanan kepada pembaca. Buku ini juga sangat sesuai sebagai pembakar semangat untuk menyedarkan diri kita supaya lebih menyayangi negara sendiri dan berhenti mengagung-agungkan kuasa Barat. Maryam mampu menyedarkan pembaca mengenai perlunya kebangkitan sesebuah negara untuk menentang Barat dengan cara yang lebih bijak iaitu melalui pendidikan, bahasa dan  kemajuan mengikut acuan sendiri.

Bagaimanapun penulis tidak menghuraikan setiap fakta yang disebut secara terperinci. Beliau cuma menyebut setiap fakta khusus secara ringkas dan menyelitkan terlalu banyak fakta dalam satu bab. Ini memerlukan pembaca mencari bahan rujukan tambahan jika ingin mengetahui fakta yang disebut secara lebih mendalam. Namun begitu bahan bacaan sebegini hanya sesuai dibaca oleh individu yang berusia 18 tahun ke atas kerana isu yang diketengahkan di dalam buku ini banyak menyentuh sensitiviti politik, agama dan moral. Isunya agak keras dan boleh menyebabkan sentimen perkauman kerana fenomena yang diceritakan adalah berkaitan penguasaan orang Barat ke atas orang Asia dan dunia yang dilakukan secara kejam. Penulisan sebegini mungkin tidak dapat diterima oleh sesetengah orang yang pro-Barat. Penulis juga kelihatan sedikit bias dalam penulisannya kerana dari awal penulisan, beliau telah menunjukkan kecenderungannya kepada anti penjajah Barat. Sesetengah penulis hanya menulis tentang fakta dan bersifat neutral terhadap penulisan mereka, berlainan dengan Maryam Jameelah yang jelas mengkritik Barat dalam semua segi.

Kesimpulannya, buku ini mempunyai kelainan tersendiri dan menarik untuk diteliti. Tambahan lagi, buah fikiran penulis yang bernas dan mempunyai pendirian tersendiri terhadap Barat menjadikan buku ini sebagai salah satu bahan bacaan yang berharga. Buku ini juga mampu menyedarkan pembaca tentang pentingnya menghargai dan memelihara kemerdekaan negara yang telah diperolehi pada masa kini.

            BIBLIOGRAFI

Maryam Jameelah. (1988). Penjajah Barat Mengancam. Pulau Pinang : Moon Island Trading


ok dah habis baca??? huhu penat kan, ok chow... :)

No comments: