well, yeah kali ni kita akan membincangkan tentang tajuk yg aku dah tulis kat atas tu, citer ni berkait dgn sosioekonomi.. xtau apa tu sosioekonomi? google je..
1.0 PENGENALAN
Zaman Meleset/The Great Depression ialah satu tempoh yang menyaksikan kemerosotan ekonomi
dunia sekitar 1920-an dan 1930-an. Tempoh ini dianggap sebagai zaman
kemelesetan ekonomi terbesar dan paling penting dalam sejarah dunia dan sering
digunakan pada abad ke-21 sebagai kayu
pengukur dalam
membandingkan sejauh mana ekonomi zaman moden boleh mengalami kejatuhan.
Para sejarawan bersepakat bahawa zaman kemelesetan ini
bermula di Amerika Syarikat, apabila pasaran
sahamnya jatuh merudum
pada 29 Oktober 1929 dan peristiwa ini
dikenali sebagai Keruntuhan Wall Street 1929 atau Black
Tuesday[1].
Ini diikuti pula dengan penurunan saham di Eropah dan Australia. Asia turut menderita
kerana terdapat rakan dagang yang menjadi miskin dan tidak bekerjasama. Kemelesetan
ini dikatakan tamat di ambang Perang Dunia Kedua sekitar 1939 disebabkan persediaan perang
yang merangsang ekonomi.[2]
Kemelesetan
ini mempunyai kesan yang mendalam terhadap kedua-dua negara perindustrian dan pengeksport galian mentah.
Perdagangan antarabangsa turun mendadak sebagaimana pendapatan persendirian,
hasil cukai, harga-harga dan keuntungan. Bandar-bandar di seluruh dunia
menerima kesan paling teruk terutamanya yang bergantung kepada industri
berat. Projek pembinaan dihentikan hampir serta-merta di merata-rata
tempat. Pertanian dan kawasan luar bandar mengalami kejatuhan harga tanaman
sekitar 40 dan 60 peratus.[3]
Kawasan-kawasan
yang sering bergantung kepada satu-satunya sektor perusahaan utama seperti
perladangan, perlombongan dan pembalakan mengalami kesan yang paling teruk
akibat peningkatan mendadak terhadap peluang pekerjaan meskipun memiliki sumber
lain yang sedikit. Walaupun Bursa Saham New York baru sahaja jatuh merudum pada
tahun 1929, semangat optimistik masih ada untuk menghadapi zaman kemelesetan
ini.
Kemelesetan ekonomi dunia pada
tahun 1920 – 1930 ini juga telah memberi kesan ke atas perusahaan-perusahaan di
Tanah Melayu. Antara perusahaan yang terjejas teruk akibat kemelesetan ekonomi
dunia ialah perusahaan getah dan bijih timah. Ini kerana British lebih
menumpukan kepada dua komoditi ini (bijih timah dan getah) berbanding hasil
bumi lain.[4]
Proses perubahan ekonomi di Tanah Melayu berkait-rapat dengan pertumbuhan dan
perkembangan dua industri utama, iaitu getah dan bijih timah.
2.0
FAKTOR BERLAKUNYA KEMELESETAN
EKONOMI DUNIA
2.1 Pembayaran upah tidak sama rata;
Sebaik sahaja Perang Dunia Pertama
tamat pada 1918, ekonomi mula mencanak naik pada awal 1920-an. Tempoh ini
dikenali dengan ‘ledakan ekonomi pasca perang’. Pengeluaran industri mula meningkat
namun pembayaran upah kepada pekerja tidak sepertimana peningkatan industri.
Oleh yang demikian, golongan pekerja
terpaksa membuat pinjaman bank sekiranya ingin berbelanja besar dan
sesetengahnya pula terpaksa mengehadkan perbelanjaan. Kesannya menyebabkan
pengaliran wang tidak lancar sehingga banyak kilang industri dan pusat
perniagaan mengalami bankrap.
Sistem perbankan pula mengalami nasib
yang lebih teruk apabila gagal mendapat bayaran balik daripada golongan
peminjam. Menjelang tahun 1930-an, lebih 3,000 buah bank terpaksa gulung tikar.
2.2
Penurunan harga saham yang naik mendadak;
Pasaran saham memainkan peranan
penting semasa berlakunya Kemelesetan Besar di Amerika Syarikat. Pada 24
Oktober 1929, pasaran saham di New York Stock Exchange ditutup dengan cukup rendah. Insiden
yang diingati sebagai Black Tessday ini menimbulkan kekalutan dalam
kalangan pelabur, pemegang saham dan para spekulator.
Mereka bertindak menjual kesemua
saham sebanyak 16.4 juta saham pada 29 Oktober 1929 dan direkodkan antara yang paling
banyak dalam sejarah. Nilai pada masa kini boleh mencapai sehingga 185 juta
dolar.
Penurunan harga saham terus jatuh
selama dua tahun tanpa tanda-tanda peningkatan. Ia seterusnya tidak banyak
meningkat sehingga 25 tahun berikutnya iaitu pada 25 November 1954.
3.0
PERUSAHAAN GETAH DI TANAH MELAYU
Getah mula diperkenalkan di
Tanah Melayu pada abad ke-19 dan menjadi tanaman popular sejak awal abad ke-20.
Getah telah melalui zaman mewah antara tahun 1906 hingga 1918 apabila harga
meningkat kepada $5 sepaun. Kenaikan harga pada masa ini telah menggalakkan
penanaman getah di Tanah Melayu dan negeri-negeri lain seperti Indonesia, Thailand,
Indo-China dan lain-lain.
3.1 Perusahaan getah pada
tahun 1920-an
Pada tahun 1920 – 1930, lebih
290,000 ekar ditanam dengan getah dan Tanah Melayu menyumbangkan separuh
daripada jumlah eksport dunia. Berikutan ini, pengeluaran getah bertambah
melebihi permintaan pengguna. Pengeluaran yang berlebihan dan kemelesetan
ekonomi menyebabkan berlaku kejatuhan harga getah di mana pada tahun 1920 harga
getah hanya 20 sen sepaun dan pada tahun 1931 – 1932, harga getah hanya 5 – 7
sen sepaun.
Perang Dunia Pertama antara
1914 – 1918 menyebabkan getah tidak dapat dieksport ke Eropah kerana peperangan
dan masalah kekurangan kapal. Akibatnya terdapat banyak simpanan getah di
negara-negara pengeluar getah. Keadaan semakin meruncing apabila Amerika,
pengimport utama getah mengurangkan import getah kerana menumpukan kepada
industri mengeluarkan perkakas perang.
Kesannya, peladang dan pekebun
getah menghadapi kehidupan perit terutamanya semasa Perang Dunia Pertama
(1914-1918) dan beberapa tahun selepas tamatnya peperangan itu. Hal ini kerana
harga getah telah jatuh ke paras yang paling rendah.
3.2
Sebab-sebab harga getah merosot:
Sebab yang pertama ialah Amerika
yang menggunakan kira-kira 77% daripada pengeluaran getah dunia telah
mengurangkan penggunaan getah kerana perusahaan keretanya dihadkan demi
menumpukan perhatian kepada pengeluaran alat-alat kelengkapan perang.
Seterusnya, harga getah merosot kerana kekurangan pengangkutan perkapalan semasa peperangan telah menjejaskan
eksport getah ke Amerika Syarikat dan Eropah. Walaupun begitu, pengeluaran getah di Tanah Melayu tidak berhenti.
Pokok-pokok getah yang ditanam sebelum Perang Dunia Pertama mula mengeluarkan
hasil. Apabila peperangan tamat,
pengeluaran getah menjadi terlalu banyak, manakala permintaan bagi getah amat
terhad.
Ini menyebabkan harga getah
jatuh dengan teruknya sedangkan kos pengeluarannya masih tinggi. Harga getah
menjunam jatuh dari $5.50 sepaun kepada 85 sen pada tahun 1918 dan seterusnya
kepada 20 sen pada tahun 1922. Pada masa itu, kos pengeluaran getah adalah
40-50 sen sepaun.
Kemelesetan perusahaan getah
membimbangkan kerajaan British kerana masalah ini memburukkan lagi masalah
kewangan kerajaan yang terpaksa membayar balik hutang peperangan kepada Amerika
Syarikat yang telah membantunya dalam peperangan itu. Oleh itu, kerajaan British
telah mengambil langkah yang tegas untuk mengawal kemerosotan harga dan lebihan
pengeluaran getah.
3.3
Perusahaan getah pada tahun 1930-an
Menjelang tahun 1930-an,
perusahaan getah telah berkembang sehingga menjadi perusahaan dan sumber
pendapatan eksport yang utama di Semenanjung Tanah Melayu tetapi zaman
kemelesetan ekonomi dunia berlaku sekali lagi pada awal tahun 1930-an. Keadaan
perusahaan getah di Tanah Melayu ibarat “sudah jatuh ditimpa tangga”.
Pada awal tahun 1932, harga
getah jatuh kepada 7 sen sepaun dan pada bulan Jun 1932 pula, getah mencatatkan
harga yang paling rendah iaitu 5 sen sepaun. Kemelesetan ekonomi dunia telah
mengurangkan permintaan terhadap getah dalam kalangan negara-negara pengimport
getah sementara pengeluaran getah semakin bertambah dan terdapat simpanan yang
bertimbun dalam kalangan negara-negara pengeluar.
Punca utama pengurangan
permintaan dunia terhadap getah ialah berkurangnya penggunaan getah di Amerika
Syarikat akibat kemerosotan perusahaan keretanya. Amerika Syarikat mengeluarkan
hampir 90% daripada jumlah keluaran kereta dunia dan menggunakan 75%-80%
daripada pengeluaran getah dunia. Akibatnya, keluaran keretanya telah merosot
daripada 5 juta unit kepada 1 juta unit pada tahun 1929. Oleh itu, perusahaan
tayar kereta turut menurun daripada 77 juta unit pada tahun 1928 kepada 4 juta
unit pada tahun 1932.
Kejatuhan harga getah telah
membimbangkan negara-negara pengeluar terutamanya kerajaan British. Hal ini
menyebabkan negara-negara pengeluar dunia bersetuju untuk mengadakan
perundingan bagi mengatasi masalah tersebut.
Hasil daripada perundingan
itu, negara-negara pengeluar getah dunia menandatangani Rancangan Peraturan
Getah Antarabangsa pada bulan Mei 1934. Rancangan ini dianggotai oleh hampir
semua pengeluar getah dunia termasuk Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, Thailand,
Myanmar, Indonesia, Indo-China, Sri Lanka dan India. Negara-negara ini
mengeluarkan kira-kira 98.7% daripada jumlah pengeluaran getah dunia pada tahun
1934. Selepas Perang Dunia Kedua pula, harapan untuk memulihkan harga getah
dalam masa yang singkat musnah. Ini kerana tindakan Amerika Syarikat
memperkenalkan getah tiruan menjadi satu ancaman kepada perusahaan getah.
Getah tiruan kemudiannya diperkenalkan
sebagai pilihan lain bagi menggantikan getah asli yang terputus bekalannya di
pasaran dunia selepas pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Getah tiruan menjadi
saingan utama kepada pengeluaran getah asli dan memberi kesan kepada
negara-negara pengeluar termasuk Tanah Melayu yang merupakan antara pengeluar
getah terbesar di dunia.
4.0 KESAN KEMELESETAN EKONOMI
DUNIA KEPADA PERUSAHAAN GETAH 1920-AN-1930-AN DI TANAH MELAYU
Kejatuhan harga getah bukan
sahaja dirasai oleh pemilik ladang getah tetapi juga orang ramai. Ramai pekerja
ladang telah diberhentikan dan menyebabkan berlakunya pengangguran. Sebahagian
daripada mereka terutamanya orang India telah dihantar pulang ke India atas
perbelanjaan kerajaan.[5]
Kejatuhan harga getah telah
menyebabkan pemilik ladang tidak dapat menjelaskan hutang mereka kepada ceti.
Akibatnya banyak ladang getah jatuh ke tangan ceti. Sebagai contoh, pada tahun
1922, berpuluh-puluh ekar ladang getah telah dirampas oleh ceti kerana kegagalan
pemilik-pemilik menjelaskan hutang. [6]
Sebelum itu, British juga
terpaksa menjelaskan hutangnya kepada Amerika yang telah membantu British dalam
Perang Dunia Pertama. Keadaan ini juga tentu akan membahayakan kedudukan mata
wang sterling.Tindakan memberhentikan pekerja ladang menyebabkan berlakunya
pengangguran dan kerajaan tidak mampu untuk menghantar pulang semua pekerja
ladang yang diberhentikan. Akibatnya, berlaku pelbagai kegiatan jenayah kerana
penglibatan mereka dalam kegiatan merompak, mencuri, pecah rumah dan
sebagainya.
Pada tahun 1930, terdapat 9000
kes jenayah yang dilaporkan tetapi pada tahun 1931, jumlahnya meningkat kepada
10500 kes jenayah. Kejatuhan harga getah telah menyebabkan pekebun kecil
mengambil sikap yang negatif. Mereka tidak sanggup menanam semula getah kerana
mengambil masa 7-8 tahun untuk mendapatkan hasil dan pada masa yang sama, harga
getah masih rendah. Akibatnya, ramai pekebun kecil telah beralih kepada
kegiatan ekonomi lain seperti menanam padi, menjadi nelayan dan sebagainya. [7]Tindakan
pekebun kecil ini telah menyebabkan kemerosotan pengeluaran getah mereka.
Sebagai contoh, pada tahun 1934, pekebun kecil mengeluarkan 48% getah di Tanah
Melayu dan ladang mengeluarkan sebanyak 52% getah. Tetapi pada tahun 1942, keluaran
pekebun kecil menurun kepada 39% dan keluaran dari ladang meningkat kepada 61%
5.0 LANGKAH MENGAWAL KESAN KEMELESETAN
EKONOMI DUNIA TERHADAP PERUSAHAAN GETAH DI TANAH MELAYU
5.1
Rancangan Sekatan Stevenson (1922-1928)
Pada tahun 1921, jawatankuasa
Stevenson telah ditubuhkan oleh Kerajaan British untuk mengkaji langkah-langkah
mengawal kemerosotan perusahaan getah. Pada bulan November tahun 1922,
Rancangan Sekatan Stevenson dimulakan hasil daripada kaji selidik jawatankuasa
ini. Skim ini mengenakan sekatan kepada pengeluaran getah. British telah
menetapkan kuota pengeluaran getah bagi negeri-negeri pengeluar getah dan
sebarang jumlah yang melebihi kuota itu dikenakan cukai eksport larangan.
Kuota pengeluaran di Sarawak ialah
24000 tan pada tahun 1934 dan kemudian kuota itu ditambah kepada 32000 pada tahun
1938. Sementara Sabah pada awalnya diberi kuota pengeluaran 60 peratus daripada
pengeluaran tahun 1921 telah ditambah sehingga 75 peratus berikutan bantahan yang
dibuat tentang jumlah itu.
Skim sekatan ini hanya
dilaksanakan di Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Ceylon yang mengeluarkan 25
peratus dari bekalan getah dunia. Sebaliknya, Hindia Timur Belanda (Indonesia)
yang menjadi salah sebuah pengeluar getah terbesar tidak mahu mengehadkan
pengeluaran dan enggan menyertai skim ini.[8]
Mengikut rancangan ini,
pengeluaran getah dihadkan kepada lebih kurang 60% sahaja daripada jumlah
pengeluaran pada tahun 1920. Bagi menjayakan rancangan ini, Tanah Melayu
mengurangkan pengeluarannya daripada 50% kepada 38%. Hasilnya pada tahun 1925,
harga getah meningkat kepada $2 sepaun.
Sungguhpun begitu, rancangan
ini tetap gagal kerana pengeluaran getah dari negara lain tidak dapat dikawal.
Indonesia telah menambahkan pengeluarannya dari 24% kepada 38%.
Syarikat-syarikat Amerika telah membuka ladang getah baru seperti Syarikat Ford
di Brazil dan Syarikat Firestone di Liberia. Rancangan ini juga tidak disertai
oleh negara pengeluar terbesar lain iaitu Hindia Timur Belanda menyebabkan
rancangan ini ditamatkan pada 31 Oktober 1928.
Walaubagaimanapun, pengenalan
skim ini juga telah meninggalkan beberapa kesan buruk kepada perusahaan getah
di Tanah Melayu. Antara kesan yang utama, walaupun harga getah meningkat semula 35 hingga 40 sen
sepaun pada tahun 1928, tetapi Tanah Melayu terpaksa menanggung kerugian kerana
mengurangkan pengeluaran getah. Hasil pengeluaran getah di Tanah Melayu merosot
daripada 70 peratus pada tahun 1921 kepada 52 peratus pada tahun 1928.
Sebaliknya, negara pengeluar terbesar lain seperti Hindia Timur Belanda yang
tidak menyertai skim ini mendapat keuntungan apabila harga getah meningkat
sedikit. Pada masa yang sama, pengeluaran Hindia Timur Belanda meningkat daripada
20 peratus kepada 40 peratus.
Selepas Rancangan Sekatan Getah Stevenson
dihentikan, jumlah pengeluaran getah di Tanah Melayu meningkat dengan mendadak,
walaupun harga getah masih berada di paras yang rendah. Keadaan ini bukan
sahaja tidak dapat dipulihkan, tetapi diburukkan lagi oleh kemelesetan ekonomi
dunia yang bermula sekali lagi pada bulan Oktober 1929. Kemelesetan ini
mengakibatkan harga getah terus jatuh sehingga 7.07 sen sepaun pada tahun 1932.[9]
5.2
Rancangan Peraturan Getah Antarabangsa (1934-1943)
Pada bulan April 1934, satu
perjanjian Peraturan Getah Antarabangsa telah ditandatangani antara kerajaan
British, Belanda, India, Perancis dan Siam berkuatkuasa pada 1 Jun 1934 dan
berakhir pada tahun 1938. Kelima-lima kerajaan memiliki hampir 98 peratus
daripada jumlah keluasan tanah yang ditanam getah di seluruh dunia. Perjanjian
ini kemudian dilanjutkan selama lima tahun lagi sehingga tahun 1943.
Antara langkah yang diambil
melalui Rancangan Peraturan Getah
Antarabangsa ini ialah memperkenalkan kuota eksport bagi setiap negara anggota
dan menghalang negara anggota menambahkan keluasan tanah yang sedia ada untuk
penanaman getah. Penanaman baru dan penanaman semula adalah tidak digalakkan.
Sepanjang tempoh sekatan itu,
harga getah bertambah baik dan meningkat daripada 20 sen sepaun pada tahun 1935
kepada 43 sen sepaun pada tahun 1937. Kejayaan ini dicapai kerana hampir semua
negara anggota mematuhi peraturan perjanjian yang ditetapkan. Menjelang tahun
1937, beberapa syarikat getah mula memperoleh keuntungan semula. [10]
Rancangan ini berjaya menstabilkan harga getah
kerana:
a. Hampir semua negara pengeluar getah sedunia telah menganggotai
dan mematuhi peraturan-peraturan rancangan tersebut.
b. Kemelesetan ekonomi dunia telah berakhir menjelang pertengahan
tahun 1930-an dan permintaan getah dunia semakin bertambah.
c. Ekonomi Amerika Syarikat berkembang dengan pesat dan kemajuan
dalam industri automobil menambahkan penggunaan getah kepada 80% daripada
pengeluaran getah dunia sebelum ini.
5.3 Cuti Menoreh bulan Mei
1930
Cuti menoreh ini diwujudkan
untuk mengurangkan kos pembayaran upah kepada pekerja. Bilangan pekerja juga
dikurangkan dan upah diturunkan bagi pekerja yang tidak diberhentikan.
Rancangan ini tidak berjaya dilaksanakan kerana penoreh getah tetap datang
menoreh seperti biasa.[11]
5.4
Pusat Penyelidikan Getah (RRI)
Kejatuhan harga getah
menyebabkan kerajaan mengambil langkah untuk menjalankan penyelidikan bagi meningkatkan
mutu getah. Untuk tujuan tersebut, Pusat Penyelidikan Getah (RRI) telah
ditubuhkan pada tahun 1926 di Sungai Buloh, Selangor dan Kota Tinggi, Johor.
RRI ini bertujuan untuk
menjalankan penyelidikan bagi mencari cara-cara yang lebih baik bagi menanam
getah, penggunaan getah, cara memproses susu getah dan sebagainya. RRI
kemudiannya memberi sumbangan penting dalam perusahaan getah di Tanah Melayu.[12]
5.5
Langkah berjimat-cermat
Kejatuhan harga getah
menyebabkan pendapatan kerajaan melalui cukai eksport ke atas getah
berkurangan. Untuk mengatasi masalah ini, kerajaan telah menubuhkan
jawatankuasa mengurangkan perbelanjaan pada Oktober 1931. Laporan Jawatankuasa
tersebut menetapkan bilangan kakitangan kerajaan serta gaji mereka dikurangkan sebanyak13%.
Antara jabatan yang terlibat
ialah Jabatan Polis, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Pelajaran. Tindakan
mengurangkan kakitangan kerajaan menyebabkan berlakunya pengangguran antara
mereka manakala tindakan mengurangkan gaji membebankan ekonomi mereka. Selain
itu, pembangunan awam diberhentikan selama 2 tahun.
5.6
Rang undang-undang imigran
Pada tahun 1930, kerajaan
telah mengeluarkan rang undang-undang imigran bagi menyekat kemasukan imigran ke
Tanah Melayu. Pada tahun 1933, rang undang-undang orang dagang dilaksanakan
bagi menyekat kemasukan mereka. Rang undang-undang ini bertujuan untuk menyekat
kemasukan imigran supaya tidak berlaku pengangguran yang berleluasa di Tanah
Melayu.
5.7
Mempelbagaikan tanaman
Kejatuhan harga getah
menyebabkan kerajaan sedar bahayanya kebergantungan kepada satu jenis tanaman
sahaja. Akibatnya penduduk Tanah Melayu mula menanam tanaman seperti koko,
nenas dan sebagainya selain dari menanam getah. Selain itu, penduduk Tanah
Melayu juga digalakkan menceburi bidang ekonomi lain selain dari bertani.
5.8
Menambahkan pengeluaran makanan
Sejak 1920-an, terutamanya
pada tahun 1930-an, kerajaan mula mengambil langkah-langkah bagi menambahkan
pengeluaran makanan, terutamanya padi. Buat pertama kali, kerajaan mula
mengambil langkah-langkah bagi membina sistem pengairan, membuka tanah
pertanian baru dan menggalakkan penanaman padi 2 kali setahun. Tujuannya ialah supaya
penduduk Tanah Melayu tidak akan mengalami kekurangan makanan sekiranya berlaku
lagi kemelesetan ekonomi seperti pada tahun 1920-an dan 1930-an.
5.9
Menyusun semula pentadbiran ladang
Kejatuhan harga getah
menyebabkan pengusaha-pengusaha ladang terutamanya ladang Eropah mengambil
langkah menyusun semula pentadbiran yang dianggap “Top Heavy” bagi menjimatkan perbelanjaan. Pegawai-pegawai Eropah
digantikan dengan penyelia-penyelia berbangsa Asia dan bilangan kakitangan
serta gaji mereka dikurangkan. Sebagai contoh, pada tahun 1918 terdapat 4 orang
pegawai Eropah di setiap ladang, manakala 1928 hanya tinggal 2 orang pegawai
Eropah di setiap ladang dan 1932 hanya tinggal seorang pegawai Eropah di setiap
ladang.
5.10
Mengurangkan gaji dan pekerja
Kerugian yang dialami akibat
daripada kejatuhan harga getah telah menyebabkan pihak pengurusan ladang
mengambil langkah-langkah mengurangkan pekerja ladang. Tindakan memberhentikan
mereka menyebabkan berlakunya pengangguran. Pada tahun 1929, terdapat 258 ribu
orang pekerja tetapi pada tahun 1932, hanya tinggal 145 ribu orang pekerja
ladang. Sebahagian daripada mereka telah dihantar pulang ke India atas
perbelanjaan kerajaan.
Antara tahun 1930-1933, 370
ribu orang telah dihantar pulang ke India. Selain itu, gaji mereka juga
dikurangkan. Pada tahun 1932, gaji pekerja ladang ditetapkan 20 sen sehari
sedangkan sebelumnya iaitu pada tahun 1929, gaji pekerja ladang adalah antara
50-55 sen sehari.
6.0
PERUSAHAAN GETAH SEMASA DAN SELEPAS PERANG DUNIA KEDUA
Semasa pendudukan Jepun
(1942-1945) di Tanah Melayu, pengeluaran getah hampir terhenti sama sekali.
Hubungan perdagangan Tanah Melayu dengan pasarannya di Amerika Syarikat dan
Eropah terputus. Banyak ladang getah telah dimusnahkan oleh pihak British
semasa mereka berundur supaya orang Jepun tidak mendapat hasil getah. Ada di
antara ladang-ladang yang telah terbiar. Pihak Jepun pula telah melancarkan
gerakan memusnahkan pokok getah dan menggantikannya dengan tanaman makanan.
Semasa Perang Dunia Kedua,
Amerika Syarikat menghadapi masalah kekurangan getah apabila Asia Tenggara
diserang oleh Jepun. Untuk mengatasi masalah ini, Amerika Syarikat telah
mengeluarkan getah tiruan.
Selepas peperangan, getah tiruan
memberi persaingan kerana getah asli sebab penggunaannya telah diperkenalkan ke
semua negeri perindustrian. Pada tahun 1955, penggunaan getah tiruan telah
menjadi 1/3 penggunaan getah di dunia. Getah asli dari Tanah Melayu masih diperlukan kerana ia mempunyai
keistimewaan sendiri yang tidak boleh diatasi oleh getah tiruan.
7.0 PERUSAHAAN BIJIH TIMAH DI TANAH MELAYU
Perlombongan bijih timah bermula sejak tahun 1820 dengan kedatangan imigran dari
negeri China ke Perak dan Selangor.
Di Selangor,
perlombongan bijih bermula dalam tahun 1824, dikendalikan oleh kaum Hakka. Disebabkan
bijih timah di Selangor, Perak dan Negeri
Sembilan didapati dalam bentuk bijih lanar (alluvial tin), proses
perlombongan adalah lebih mudah dan lebih murah berbanding dengan proses
perlombongan di Cornwall dan
di lain-lain lokasi di Eropah.
Ledakan perlombongan berlaku dalam tahun 1870-an dengan permintaan yang
bertambah dari Eropah dan Amerika
Syarikat. Britain kini menjadi pembekal utama timah di pasaran
dunia. Permintaan untuk timah melonjak dengan permintaan yang bertambah
daripada industri mengetin makanan.[13]
8.0
KESAN KEMELESETAN EKONOMI DUNIA TERHADAP EPERUSAHAAN BIJIH TIMAH PADA
TAHUN 1920-AN-1930-AN DI TANAH MELAYU
Pada masa ekonomi dunia
mengalami zaman kemelesetan sekitar tahun 1929 hingga 1932, perusahaan bijih
timah turut terjejas. Harga bijih timah menjunam sehingga ke paras yang rendah,
akibat kekurangan permintaan di pasaran Eropah. Misalnya, harga bijih timah
merosot daripada $2414 satu tan pada tahun 1926 kepada $1020 satu tan pada
tahun 1931.
Kejatuhan harga bijih timah menyebabkan
banyak lombong terpaksa ditutup kerana mengalami kerugian. Ini mengakibatkan
berlaku pengangguran dalam kalangan pekerja Cina sehingga kerajaan British
bertindak menghantar pulang pekerja Cina ke negara China semula. Pada tahun
1931, kira-kira 10,000 orang pekerja lombong di Perak dihantar pulang ke negara
China dan ada yang membuat keputusan untuk pulang secara sukarela.[14]
9.0
LANGKAH
MENGAWAL KESAN KEMELESETAN EKONOMI DUNIA TERHADAP PERUSAHAAN BIJIH TIMAH
9.1
Pembekuan
permohonan membuka lombong-lombong baru
Pada tahun 1929, pihak
kerajaan bertindak membekukan permohonan untuk membuka lombong-lombong baru.
Selain itu, kerajaan berusaha mengehadkan pengeluaran bijih timah secara
sukarela, tetapi usaha tersebut tidak begitu berkesan. Oleh itu sebagai
pengeluar bijih timah terbesar di dunia, kerajaan British mencadangkan satu
skim untuk mengawal harga dan pengeluaran bijih timah bagi mengurangkan lebihan
penawaran supaya sejajar dengan permintaan pasaran dunia. [15]
9.2
Perjanjian Bijih Timah Antarabangsa
Bagi mengawal harga dan
pengeluaran bijih timah, Tanah Melayu dan negara pengeluar bijih timah yang
lain seperti Bolivia, Hindia Timur Belanda (Indonesia) dan Nigeria bersetuju
menandatangani Perjanjian Bijih Timah Antarabangsa pada tahun 1931. Perjanjian
ini yang dikenali sebagai Skim Kawalan Timah telah diperbaharui pada tahun 1934
dan 1937.[16]
Menerusi Perjanjian Bijih
Timah Antarabangsa, negara-negara pengeluar diberi kuota pengeluaran tertentu
berdasarkan kepada angka pengeluaran pada tahun 1929 dengan tujuan untuk mengelakkan
lebihan penawaran.[17]
9.3
Majlis Timah Antarabangsa
Penyelarasan pengeluaran bijih
timah di bawah perjanjian Bijih Timah Antarabangsa ini dikendalikan oleh Majlis
Timah Antarabangsa. Kawalan perjanjian bijih timah melalui perjanjian ini
berjaya menstabilkan harga bijih timah. Pada tahun 1931, harga bijih timah
meningkat semula daripada $1020 satu tan kepada $1185 satu tan pada tahun 1935.
Namun begitu, kawalan pengeluaran bijih timah melalui perjanjian ini memberi
kesan buruk kepada perusahaan bijih timah di
Tanah Melayu akibat kuota pengeluaran yang rendah.[18]
9.4
Pengeluaran ditingkatkan pada paras harga rendah
Akibat kuota pengeluaran yang
rendah, eksport bijih timah di Tanah Melayu menurun daripada 37 peratus pada
tahun 1930 kepada 28 peratus pada tahun 1938 daripada jumlah keluaran bijih
timah dunia. Oleh sebab itu Tanah Melayu tidak mampu menghadapi kejatuhan harga
yang lebih rendah, kuantiti pengeluaran terpaksa ditingkatkan walaupun pada
paras harga yang rendah.
Selepas Perang Dunia Kedua,
pengeluaran bijih timah merosot dengan ketara. Pada tahun 1941, sebanyak 79000
tan bijih timah dikeluarkan, tetapi angka ini merosot kepada 3000 tan pada
tahun 1945. Harga bijih timah juga sering mengalami keadaan turun naik, akibat
permintaan yang tidak tetap di pasaran dunia. Pada tahun 1956, negara-negara
pengeluar bijih timah yang utama sekali lagi menandatangani Perjanjian Timah
Antarabangsa bagi mengehadkan pengeluaran dan menstabilkan harga.
Secara keseluruhannya, tidak
dinafikan bahawa kemajuan awal di negeri-negeri Melayu berkait rapat dengan
perkembangan perusahaan bijih timah. Pendapatan daripada perusahaan bijih timah
mendatangkan hasil yang lumayan bagi membiayai kemajuan ekonomi di
negeri-negeri Melayu pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20.
Misalnya, antara tahun 1880
hingga 1906, cukai eksport bijih timah sahaja berjumlah sekitar 3 peratus
hingga 50 peratus daripada jumlah keseluruhan hasil Negeri-negeri Melayu
Bersekutu. Pendapatan ini telah digunakan untuk membiayai urusan pentadbiran
dan kemajuan ekonomi di negeri-negeri Melayu. [19]
10.0 PENUTUP
Walaupun Tanah Melayu kaya dengan pelbagai hasil bumi, pada tahun 1920-an
hingga 1930-an, pihak British lebih menumpukan kepada perusahaan getah dan
bijih timah yang dilihat sebagai komoditi paling bernilai pada masa itu.
Akibatnya, pada zaman kemelesetan ekonomi yang berlaku pada tahun 1920-an –
1930-an, harga getah dan bijih timah jatuh secara mendadak dan menjejaskan
ekonomi di Tanah Melayu. Kesannya, ramai yang kehilangan hasil pendapatan dan
pekerjaan. Kerajaan British melaksanakan pelbagai langkah seperti Rancangan
Sekatan Stevenson, Rancangan Peraturan Getah Antarabangsa, cuti menoreh bulan
Mei 1930, Pusat Penyelidikan Getah dan beberapa langkah lagi untuk mengatasi
kejatuhan harga getah di Tanah Melayu. Kerajaan British juga menjalankan Perjanjian
Bijih Timah Antarabangsa, Majlis Timah Antarabangsa dan lain-lain untuk
mengatasi masalah yang melanda perusahaan bijih timah pada zaman kemelesetan
ekonomi dunia. Langkah-langkah ini telah membantu memulihkan keadaan ekonomi di
Tanah Melayu walaupun ada beberapa langkah yang menemui kegagalan.
BIBLIOGRAFI
Surendran Moorthi Rajendran. (2006). Kesan
zaman kemelesetan dunia (1929-1933) ke atas sosio-ekonomi negeri Selangor. Kuala Lumpur:
Universiti Malaya
John H.
Drabble.(2000). An Economic History of
Malaysia c. 1800 – 1990. New York: Palgrave Macmillan.
Ruslan
Zainuddin (2003). Sejarah Malaysia Edisi
ke-2. Shah Alam: Fajar Bakti.
Sheela
Abraham. (1993). Sejarah Perkembangan
Negara. Shah Alam. Fajar Bakti.
NOTA HUJUNG :
[1] Americaslibrary.gov., Depression
& WWII (1929-1945)
[2] Trout Charles
H. Boston, The Great
Depression, and the New Deal, 1977.
[3] Ruslan
Zainuddin, Sejarah Malaysia edisi ke-2,
2003.
[4] Ruslan
Zainuddin, Sejarah Malaysia edisi ke-2,
2003. Hlm. 762 – 763.
[5] Ruslan
Zainuddin, Sejarah Malaysia edisi ke-2,
2003. Hlm. 762 – 763.
[6] Ruslan
Zainuddin, Sejarah Malaysia edisi ke-2,
2003. Hlm. 763.
[7] Ruslan
Zainuddin, Sejarah Malaysia edisi ke-2,
2003. Hlm. 762 – 763.
[8] Ruslan
Zainuddin, Sejarah Malaysia edisi ke-2,
2003. Hlm. 780.
[9] Ruslan
Zainuddin, Sejarah Malaysia edisi ke-2,
2003. Hlm. 780
[10] Ruslan
Zainuddin, Sejarah Malaysia edisi ke-2,
2003. Hlm. 781
[11] Ruslan
Zainuddin, Sejarah Malaysia edisi ke-2,
2003. Hlm. 781
[13] Ruslan
Zainuddin, Sejarah Malaysia edisi ke-2,
2003. Hlm. 767
[14] Ruslan
Zainuddin, Sejarah Malaysia edisi ke-2,
2003. Hlm. 768
[15] Ruslan
Zainuddin, Sejarah Malaysia edisi ke-2,
2003. Hlm. 768
[16] Andaya dan Andaya, 1983, hlm.45.
[17] Ruslan
Zainuddin, Sejarah Malaysia edisi ke-2,
2003. Hlm. 768
[18] Ruslan
Zainuddin, Sejarah Malaysia edisi ke-2,
2003. Hlm. 768
[19] Ruslan
Zainuddin, Sejarah Malaysia edisi ke-2,
2003. Hlm. 768
No comments:
Post a Comment