Tuesday, January 7, 2014

konsep objektif dan subjektif dalam penulisan sejarah

tugasan ni aku buat masa amik PITO sejarah tahun 2013. setelah berhempas-pulas, inilah hasilnya... :)

Soalan 6 : Nilaikan konsep objektif dan subjektif dalam penulisan dan penyelidikan sejarah.
Pendahuluan
              Sebelum tajuk esei ini diulas dengan lebih lanjut, terlebih dahulu perlu diketahui maksud penulisan, penyelidikan dan sejarah itu sendiri. Untuk mengulas tentang definisi penulisan, pendapat beberapa tokoh telah dimuatkan dalam esei ini.
              Weiner (1967) mengatakan penulisan berkait rapat dengan individu yang ingin mempelajari penulisan dengan cara yang betul dan serius. Murray (1969) pula berpendapat bahawa penulisan merupakan satu bentuk penyelidikan apabila seseorang itu menemui makna dan menghasilkan idea dalam fikirannya. Berlainan pula dengan Juriah Long et.al (1990) yang mendefinisikan penulisan sebagai cara untuk berkomunikasi melalui bentuk grafik. Flower (1980) menyatakan penulisan merupakan satu proses menyelesaikan masalah iaitu segala maklumat yang diperolehi akan diproses bagi mencapai matlamat. Comprone (1978) menyatakan penulisan ialah transkripsi tentang proses mengungkapkan gagasan dalam bentuk karangan, iaitu satu proses mengaktualisasikan fikiran di atas kertas.
               Penyelidikan pula bermaksud mencari maklumat lebih lanjut mengenai sesuatu perkara, menyelami lebih lanjut, menjalankan kajian menyeluruh atau menyiasat dengan lebih mendalam tentang sesuatu. Manheim (1977) menyatakan penyelidikan sebagai penyiasatan yang penuh berhati-hati, mendalam, secara bijak dan meluas mengenai sesuatu perkara atau subjek spesifik, dengan bertujuan meningkatkan dan meluaskan ilmu pengetahuan manusia sejagat. Helmstadter (1970) pula mendefinisikan penyelidikan sebagai aktiviti penyelesaian masalah yang membawa kepada pengetahuan dan penemuan baru dengan mengunakan kaedah mengenalpasti persoalan yang sedang digunapakai oleh sarjana-sarjana didalam bidang tersebut. Woolf (1975) menyatakan penyelidikan adalah suatu penyiasatan atau ujikaji yang bertujuan menemukan dan menginterpretasikan fakta-fakta, mengulang semula teori yang diterima didalam penemuan baru atau amalan penggunaan teori yang digunapakai semula.
              Perkataan Sejarah (History) yang kita gunakan pada masa kini berpunca daripada perkataan Arab iaitu Syajaratun yang bermaksud Pohon. Mengikut pandangan "Bapa Sejarah" Herodotus, Sejarah ialah satu kajian untuk  menceritakan satu kitaran jatuh bangunnya seseorang tokoh, masyarakat dan peradaban. Menurut Aristotle pula, Sejarah adalah peristiwa-peristiwa masa lalu yang mempunyai catatan, rekod-rekod atau bukti-bukti yang kukuh. Menurut R. G. Collingwood, Sejarah ialah sejenis bentuk penyelidikan atau suatu penyiasatan tentang perkara-perkara yang telah dilakukan oleh manusia pada masa lampau[1]. 
             Jadi, dapat disimpulkan bahawa penulisan dan penyelidikan sejarah adalah transkripsi bertulis yang melibatkan penyiasatan khusus tentang peristiwa masa lalu yang mempunyai bukti-bukti yang kukuh.
Konsep Objektif Dalam Penulisan dan Penyelidikan Sejarah            
                Menurut Kamus Dewan, objektif bermaksud kenyataan yang berasaskan fakta yang sebenarnya yang tidak dikuasai atau dipengaruhi oleh perasaan atau prasangka sendiri seseorang itu. Menurut Gottschalk, objektif adalah untuk memperoleh pengetahuan yang tidak memihak dan benar serta bebas daripada reaksi peribadi seseorang. Garraghan menyatakan objektif sebagai sikap neutral yang tidak memihak kepada mana-mana pihak. Donald V. Garowski menyatakan bahawa objektiviti bermaksud menggunakan fakta sejarah tanpa ada perasaan memihak dan prasangka. Sartono menjelaskan kajian sejarah dalam erti kata yang objektif menunjukkan kepada kejadian atau peristiwa itu sendiri, iaitu proses sejarah dalam keadaan yang sebenarnya berlaku[2].
                Sebagai suatu istilah sejarah, maka konsep objektif itu dilihat dari dua perspektif iaitu pengertian asas dan pengertian yang lebih kontroversi. Dari sudut pengertian asas, objektif dalam sejarah adalah tujuan atau sasaran suatu sejarah itu dikaji atau ditulis. Untuk apa dan untuk siapa sejarah itu dikaji? Kebanyakan pensejarahan Melayu ada menyatakan tujuan serta sasaran penghasilan sesebuah karya sejarah itu. Contohnya, Tun Seri Lanang memperbaiki semula “Hikayat Melayu yang dibawa orang dari Goa” dan menamakannya semula sebagai “Sulalatus Salatin”. Tujuannya adalah untuk menurut perintah Sultan Abdullah Ma’ayah Syah. Karya itu juga untuk menggembirakan baginda dan sebagai iktibar bagi generasi yang akan datang[3]. Contoh lain ialah Raja Chulan yang menulis tentang “Misa Melayu” demi memenuhi permintaan Sultan Iskandar. Abdullah Munsyi pula menulis riwayat diri beliau yang berjudul “Hikayat Abdullah”  demi rakan karibnya[4]. Jika diteliti dari contoh-contoh di atas, jelas menunjukkan karya yang ditulis itu mempunyai tujuan seperti memenuhi permintaan atau perintah seseorang.
                   Perspektif kedua yang lebih kontroversi mengenai konsep objektif memerlukan perbincangan yang lebih luas dan mendalam. Perkara ini boleh dianggap sebagai salah satu sifat sejarah itu sendiri. Konsep objektif merupakan satu konsep yang cuba untuk mempersembahkan kajian sejarah yang tepat, benar, mutlak, yakni tiada penambahan atau bias dan sebagainya. Ia didasarkan kepada fakta atau sumber utama yang boleh dipercayai. Tetapi para sejarawan mempersoalkan “adakah sejarah boleh dianggap objektif?”, iaitu adakah sejarah itu tidak boleh dipersoalkan atau dikritik kerana dianggap mutlak kebenarannya, tepat dan tidak boleh mempunyai penambahan?[5]. Adakah sejarah itu boleh ditulis seperti sebenarnya ia berlaku (objektif) walaupun diketahui peristiwa sejarah itu mungkin telah berlaku berabad sebelum ini?
               Walaupun istilah objektif itu nampak kecil, tetapi kontroversi mengenainya adalah besar. W.H Walsh menganggap persoalan dan kontroversi mengenai konsep objektif ini adalah besar dan penting. Hal ini menyukarkan sejarawan bagi mencari dan menentukan kebenaran. Walsh berpendapat beberapa sejarawan mengambilmudah dalam penentuan kebenaran sesuatu peristiwa sejarah. Contohnya, pandangan Leopold von Ranke yang menyatakan bahawa sejarah itu harus dikaji seperti sebenarnya ia berlaku. J.B. Bury pula mengatakan “sejarah itu adalah Sains, tidak lebih dan tidak kurang[6]. Dengan anggapan sejarah itu Sains, maka sejarah akan berada di bawah bidang Sains Sosial dan kebenaran yang dikaji tentang sejarah sama sifatnya seperti Sains, iaitu mutlak, tepat, tidak berubah dan tidak boleh dipersoalkan. Sedangkan ilmu sejarah itu ialah ilmu yang ‘bergerak’ iaitu berubah mengikut zaman. Contohnya, jika ada kajian sejarah yang mempunyai bukti manusia berasal dari monyet, teori itu mungkin diterima pada waktu itu. Teori tersebut boleh ditolak jika ada sejarawan lain pula yang menjumpai bukti manusia bukan berasal dari monyet. Ini kerana sejarah menjadi sahih dengan adanya bukti yang ditemui, bukan berpaksi kepada suatu penemuan sahaja sehingga tidak boleh dipersoal seperti teori Sains. Oleh itu, sejarah itu boleh berubah-ubah mengikut bukti yang ditemui dan benar.
                  Selaras dengan perkembangan zaman, kesedaran mengenai sejarah mula meningkat dan para sejarawan mula memahami bahawa sejarah itu bukanlah objektif sepenuhnya. Ini kerana sejarah tidak mungkin sama sekali menjadi objetif sepenuhnya, kerana kebenarannra bukanlah semutlak kebenaran Sains. Keadaan ini dapat dilihat melalui penghasilan serta perkembangan pensejarahan dalam pelbagai peradaban silam, sama ada di Benua Afrika (Mesir Purba), Eropah (Yunani – Rumawi), Asia, Asia Barat dan Alam Melayu. Contoh-contoh sejarawan yang cuba bersikap objektif dalam pernyataan dan kaedah penyelidikan sejarah ialah Herodotus, Thucydides, Ssu-Ma Chien, al-Masudi, Ali Haji dan ramai lagi. Para sejarawan ini cuba bersikap objektif dalam memaparkan kisah sejarah yang dikaji[7].
            Sebelum munculnya pensejarahan moden sekular Barat pada awal abad ke-19, Ibnu Khaldun, sejarawan Islam pada abad ke-14, menyatakan dalam karyanya, Muqaddimah dan karya keduanya, al-‘Ibar wa diwan al Mubtada’ wa al-khabar fi ayyam al-Arab wa-al-‘jam wa-al-Barbar, takrif yang sangat komprehensif terhadap sejarah, dan menyatakan perkara yang boleh menyebabkan karya sejarah itu lemah malah menyeleweng. Antaranya kerana adanya semangat kepartian atau memihak kepada suatu kepercayaan atau pendapat, iaitu terlalu bergantung kepada suatu sumber yang diperoleh, gagal memahami sumber, berasa yakin kepada yang tidak benar, cuba memuji serta memujuk, jahil tentang hukum yang menguasai perubahan masyarakat dan kegemaran membesar-besarkan suatu peristiwa[8].               
               Perkara ini masih berlarutan sehingga kini. Peradaban Barat kini menjadi pemula kepada konsep dan penghasilan sejarah moden yang bersifat objektif, sebagai menyambung idea Ibn Khaldun. Namun, pada abad ke-19, terdapat tokoh-tokoh yang gigih mengaitkan sejarah dengan konsep-konsep yang objektif atau saintifik. Tokoh-tokoh ini, khususnya Auguste Comte dan Karl Marx, melalui istilah yang melambangkan idea dan inovasi ilmu pengetahuan masing-masing, misalnya positivisme, dialektika materialisme, komunisme saintifik dan sebagainya, telah berusaha membuktikan kebenaran idea mereka itu melalui sejarah yang kononnya mereka anggap sebagai objektif atau saintifik. Mereka melakukan spekulasi terhadap sejarah walaupun  mereka adalah ahli-ahli falsafah sejarah[9]
                Namun, di sebalik perkembangan pensejarahan yang bersifat objektif, masih terdapat sejarawan yang menghasilkan karya secara tidak objektif atau nama lainnya ialah subjektif. Konsep subjektif ini lebih kepada kebebasan menulis, tetapi tetap perlu bersandarkan fakta sejarah. Perbezaanya hanyalah kajian itu akan ditulis dan dihurai mengikut perspektif penulis itu sendiri. Misalnya, penulisan yang bersifat memihak, bertujuan menyanjung atau memperbesar tokoh atau peristiwa yang dikaji, menerapkan nilai budaya atau pandangan dunia mahupun ideologi serta memuatkan pelbagai unsur kesusasteraan[10].
                Keadaan pensejarahan yang bersifat objektif atau subjektif ini menyebabkan seolah-olah wujud dua aliran pensejarahan dalam dunia ini, iaitu satu aliran objektif dan satu lagi aliran bebas (subjektif). Ini mewujudkan persoalan aliran mana yang lebih kukuh dan mengapa wujud dua aliran dalam pensejarahan?. Dari segi bentuk dan perkembangan pensejarahan Melayu pada tahun 1800 – 1950-an, didapati kedua-dua aliran ini berkait-rapat dan saling menyokong antara satu sama lain.  
                Perkara ini bukan sahaja berlaku pada sejawaran Melayu, tetapi juga pada sejarawan Barat, seperti Frank Swettenham, R.J. Wilkinson dan R. O. Winstedt. Mengapakah  perkara ini boleh berlaku? Salah satu jawapan dari persoalan ini ialah kerana tiada kesedaran yang lebih luas tentang sejarah. Ertinya, kesedaran yang ada pada sejarawan berkenaan tidaklah melebihi daripada hakikat bahawa fungsi sejarah adalah untuk dijadikan iktibar sahaja. Oleh sebab itu, isi kandungan sesebuah karya pensejarahan pada masa itu boleh dicampur-adukkan dengan unsur-unsur kesusasteraan seperti dongeng, mitos, legenda serta kata-kata perbualan. Ertinya penulisan sejarah pada masa itu bukanlah semata-mata untuk menghibur, tetapi juga untuk mendapat sesuatu teladan ataupun pengajaran daripadanya. Kisah dongeng juga boleh dijadikan pengajaran atau iktibar. Bentuk perbualan atau percakapan itu dianggap akan memperkuat atau mengukuhkan lagi hasrat untuk memberi iktibar itu.[11]
                 Satu lagi sebabnya ialah pengaruh nilai budaya dan adanya kepentingan yang ingin ditonjolkan dalam penulisan itu. Keadaan ini jelas wujud dalam karya pensejarahan tokoh-tokoh penjajah yang menulis sejarah tanah air dan masyarakat jajahan mereka. Dalam hal ini, mereka tidak melihat sejarah sebagai suatu media yang boleh memberi iktibar tetapi sebagai suatu media yang boleh digunakan untuk melakukan serangan psikologi terhadap masyarakat yang dijajah. Caranya adalah dengan mencemuh serta memperkecil peristiwa sejarah tempatan serta peranan dan tokoh-tokoh tempatan. Dalam pada itu, sejarah negara penjajah itu pula diperkenalkan kepada masyarakat tempatan dan peristiwa serta tokoh-tokohnya diperhebatkan[12]. Wajarkah perkara seperti ini dilakukan?
               Jika diteliti dari konsep pensejarahan sebenar, perkara ini tidak wajar dilakukan kerana pensejarahan tidak bersifat objektif dan sejarah yang dipaparkan sentiasa boleh dipersoalkan kebenarannya. Hal ini bukan bererti mereka langsung tidak mempunyai kesedaran betapa pentingnya kebenaran sejarah itu. Sedikit sebanyak mereka memang mempunyai kesedaran itu, iaitu seperti yang tergambar dalam usaha mereka melakukan penyelidikan serta merujuk kepada sumber-sumber yang bertulis dan juga lisan. Mereka cuba memperlihatkan bahawa mereka tidak bertujuan mengetepikan kebenaran sejarah. Namun dalam penulisan yang demikian, konsep kebenaran yang menyeluruh lagi objektif itu tidak begitu dipentingkan. Perkara utama ialah bagaimana sejarah itu boleh dijadikan iktibar atau dijadikan alat atau media untuk melakukan serangan psikologi demi mengekalkan serta menegakkan kuasa dan keunggulan suatu kuasa atau bangsa terhadap suatu bangsa yang lain. Untuk ini, konsep sejarah yang objektif, apatah lagi saintifik, tentulah tidak diperlukan kerana ditakuti konsep ini tidak boleh dijadikan iktibar atau tidak menghasilkan kesan yang diharapkan dalam hal melakukan serangan psikologi itu untuk menegakkan kuasa penjajahan dan juga imperialisma itu[13].
                Harus diingatkan, konsep objektif pada mulanya cuba meniru konsep ilmu pasti, seperti Sains Tulen yang menganggap kebenaran sebagai suatu yang mutlak dan tidak boleh diubah. Pendokong konsep ini dikenali sebagai ‘objektivis’, dan antaranya ialah sejarawan dari Jerman seperti Leopold von Ranke dan dari England, seperti Acton dan J.B. Bury. Namun, konsep ini tidak dapat dipertahankan kerana kebenaran sejarah tidak setepat dan semutlak kebenaran Sains. Kebenaran sejarah adalah relatif, dengan adanya sumber rujukan yang mencukupi dan juga kaedah penyelidikan yang sewajarnya. Ertinya, kebenaran itu tidak bergantung kepada tindakan atau pengkaedahan seperti uji kaji dalam makmal mahupun pengamatan yang empirikal semata-mata. Kadang-kadang kebenaran sejarah itu relatif pula kepada budaya setempat, penelitian atau kajian sezaman dan tafsiran sejawaran. Pendukung konsep ini dikenali sebagai golongan ‘relativis’ dan antara mereka itu termasuklah Benedetto Croce dari Itali, Arnold Toynbee dan R.G. Collingwood dari England dan R.G. Robinson serta Charles A. Beard dari Amerika Syarikat. Selepas Perang Dunia Kedua, ramai lagi yang telah menganggap diri mereka sebagai termasuk dalam golongan ini[14].
              Hakikatnya, sejarah yang dianggap sebagai suatu bidang ilmu yang objektif tidak boleh diterima lagi. Malah sains tulen yang pada suatu ketika, khasnya pada kurun ke-19, sebelumnya diagungkan sebagai disiplin ilmu yang objektif, juga tidak lagi digembar-gemburkan demikian. Hal ini secara beransur-ansur, para saintis mendapati bahawa teori dan kebenaran Sains atau yang saintifik itu boleh berubah serta tidak setepat yang disangkakan pada awalnya. Dari segi sejarah pula, konsep relatif itu pula bukanlah bererti bahawa tiada langsung wujudnya unsur kebenaran yang maujud atau yang konkrit bagi sesuatu peristiwa sejarah itu. Unsur itu memang wujud. Misalnya, dalam hal memperkatakan peristiwa-peristiwa sejarah seperti pendudukan Jepun, Kemerdekaan Tanah Melayu atau peristiwa yang mempunyai tarikh masing-masing. Tarikh-tarikh tersebut merupakan fakta atau kebenaran sejarah yang tepat, yakni sesuatu yang boleh kita pastikan kebenaran atau ketepatannya. Dari segi ini, J.L. Gaddis mengatakan bahawa, ‘kita jarang bertelagah tentang tarikh-tarikh berlakunya peristiwa-peristiwa besar, ataupun tentang jumlah bagi orang-orang kenamaan’. Ertinya, kita boleh menerima perkara-perkara yang demikian sebagai suatu yang objektif dalam sejarah. Kita juga boleh menerima beberapa perkara yang berupa penyeluruhan ataupun peristiwa-peristiwa penting serta perkembangan yang boleh diukur sebagai perkara yang objektif dalam sejarah. Misalnya, kita harus menerima hakikat bahawa bentuk pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka kurun ke-15 merupakan sistem beraja yang berkuasa mutlak. Contoh lain ialah orang India dan Cina yang memasuki Tanah Melayu beramai-ramai mulai pertengahan kurun ke-19 hingga tahun 1930-an atau Tanah melayu telah mencapai kemerdekaan melalui rundingan damai dengan pihak penjajah British. Contoh lain, selepas kemerdekaan, Malaysia Berjaya mencapai kemajuan dalam jangka waktu yang lebih singkat daripada zaman sebelum kemerdekaan dahulu[15]
Konsep Subjektif Dalam Penulisan dan Penyelidikan Sejarah            
Di samping fakta atau peristiwa yang objektif, terdapat juga perkara yang subjektif dan relatif dalam sejarah. Subjektif dan relatif adalah dua perkara yang berlainan tetapi sangat rapat perkaitannya dengan diri, pendirian, sudut pandangan, ideologi, orientasi dan budaya seorang sejarawan. Dari segi ini, hal ini boleh menimbulkan bias dan sikap berat sebelah seorang sejarawan dalam memaparkan suatu peristiwa sejarah itu. Dari sudut yang ekstrem, bias boleh menjadi penyelewengan, penipuan dan pemalsuan fakta atau penyelewengan sejarah. R.V. Daniels mengingatkan kemungkinan ini dengan mengatakan bahawa “ ada kalanya bias menolong penulis melakukan penipuan dan pemalsuan”. Misalnya, “Protocols of the Elders of Zion” yang keji telah diada-adakan pada awal tahun 1900-an, dan telah menimbulkan kekejaman tidak terhingga[16].
Namun dari segi yang lebih rasional dan terkawal pula, konsep subjektif dan relatif itu tidaklah semestinya bersifat ekstrem. Konsep ini merupakan sesuatu yang lazimnya berkaitan dengan perkara-perkara seperti budaya, ideologi dan sebagainya seperti yang telah dinyatakan tadi. Misalnya dalam peristiwa sejarah yang penting, seseorang itu (sejawaran atau bukan) secara lumrahnya akan memilih serta menganggap peristiwa-peristiwa itu sebagai lebih penting daripada apa yang berlaku pada orang, masyarakat atau negara lain. Ataupun dari sudut parti dan ideologi politik, maka lazimnya ahli-ahli serta penganut-penganut  (termasuklah sejarawan) akan melihat serta menganalisis sesuatu peristiwa yang berkaitan mengikut kepentingan dan pengertian parti dan ideologi politik mereka. Hal seperti ini boleh berlaku kerana sebahagian daripada sejarah itu berkaitan dengan manusia, persekitaran. masyarakat, budaya, negara dan peradabannya. Kita tentu bersetuju apabila E.H.Carr mengatakan bahawa “terdapat banyak perbezaan antara orang Amerika, Rusia dan orang India”[17]. Barangkali perbezaan ini akan merangkumi pula sejarawan-sejarawannya. Seperti kata E.H. Carr lagi bahawa “masyarakat dan individu tidak boleh dipisahkan dan ahli sejarah adalah seorang individu. Seperti individu lain, dia juga adalah gejala sosial, hasil dan jurucakap secara sedar dan tidak sedar bagi masyarakatnya. Dalam kedudukan inilah dia mendekati fakta-fakta lampau sejarah”[18]
Hujah-hujah seperti ini memang boleh diterima, namun seseorang itu harus juga melihat serta memikirkannya dari sudut yang boleh menimbulkan bias yang ekstrem. Ertinya, konsep-konsep subjektif dan relatif itu mestilah sesuatu yang mempunyai nilai kesejarahan dan kebenaran kepada kesejarahan itu. Tidak wajar bagi sejarawan untuk menulis atau menganalisis suatu sejarah itu mengikut kemahuan dan kepentingan pihak tertentu. Sejarawan mesti mempunyai rasa tanggungjawab dan telus terhadap penulisannya[19].
Walau bagaimanapun, penulisan subjektif dianggap sesuatu yang penting dan unggul kerana ia menjadi lumrah manusia untuk memilih sesuatu yang digemari atau disukainya. Hal ini bermakna setiap generasi dapat menginterpretasikan pandangan mereka tentang peristiwa sejarah yang berlaku melalui penulisan dengan cara dan pendekatan mereka sendiri. Justeru, kajian sejarah itu akan lebih menarik untuk dibaca[20].
Subjektiviti itu merupakan suatu yang hakiki. Hakikatnya, dalam kajian sejarah, tidak dapat dipastikan hubungan sentimental antara sejarawan dan bahan kajiannya. Namun begitu, kajian yang dipengaruhi oleh unsur-unsur subjek ini harus mempunyai kawalan agar ia tidak terlalu cenderung kearah tertentu, seperti memenuhi tuntutan tertentu. Penulisan sejarah secara subjektif sebenarnya akan meningkatkan kemajuan dalam penulisan sejarah. Ini kerana para sejarawan mempunyai kebebasan untuk menginterpretasikan peristiwa sejarah mengikut pandangan mereka. Ini akan melahirkan pelbagai gaya persembahan dalam penulisan sejarah. Secara tidak langsung, sejarawan akan mempunyai persaingan sesama mereka untuk menghasilkan penulisan yang berkualiti[21].
Kesimpulan
Terdapat sesetengah sejarawan yang menyokong konsep objektif dalam penulisan sejarah. Para sejarawan ini menyamakan kebenaran sejarah seperti kebenaran Sains, yang mutlak dan tidak boleh dipersoalkan. Para sejarawan yang menghasilkan penulisan sejarah secara objektif antaranya ialah Thucydides dan Herodotus, dan mereka yang mendukung aliran ini, dikenali sebagai ‘objektivis’. Akan tetapi, agak sukar untuk memastikan kebenaran sejarah itu sepenuhnya objektif dan tidak berubah kerana sejarah tidak sama dengan ilmu Sains yang objektif/mutlak kebenarannya. Ini kerana sejarah sebenarnya bersifat subjektif, iaitu sentiasa boleh berubah kebenarannya berdasarkan kepada bukti-bukti yang dijumpai. konsep subjektif ini pula lebih kepada kebebasan dalam menyatakan kebenaran sejarah yang dikaji. Sejarah yang dikaji itu diulas berdasarkan bukti/tarikh/sumber yang berkaitan dengannya tetapi penulis mempunyai kebebasan mentafsir sejarah itu mengikut pandangannya sendiri sehingga kadangkala boleh menimbulkan bias atau penyelewengan dalam penulisan sejarah. Contohnya, "protocols of the elder of Zion" yang sengaja diada-adakan. Apabila penulisan sejarah bersifat subjektif, ketelusan suatu penulisan sejarawan itu bergantung kepada nilai moral dan tanggungjawab mereka supaya tidak menyeleweng dan bias dalam penulisan. Gaya penulisan sejarah secara subjektif ini dapat menghasilkan pelbagai bentuk penulisan sejarah. Ia secara tidak langsung menjadikan sejarah sebagai bahan yang menarik dan berkualiti untuk dihayati oleh pembaca.
Kedua-dua konsep ini (objektif dan subjektif) mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing. Walau bagaimanapun, konsep subjektif dan objektif ini tetap bersandarkan kepada fakta sejarah yang sentiasa mementingkan kebenaran. 

BIBLIOGRAFI
Muhd. Yusof Ibrahim, 2013. Ilmu Sejarah:Falsafah, Pengertian, Kaedah dan Pensejarahan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ishak Saat, 2010. Penulisan Sejarah. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.




[1] Nabir Hj.Abdullah, Ishak Saat, Fairisa Othman. Kaedah Penyelidikan & Penulisan Sejarah. 2013. Hlm.11
[2] Ishak Saat. Penulisan Sejarah. 2010. Hlm. 94
[3] Muhd. Yusof Ibrahim dan Mahayudin Hj. Yahaya, Sejarawan dan Pensejarahan, hlm. 231
[4] Dalam perkataan Abdullah sendiri, “seorang sahabatku, iaitu orang putih yang kukasihi akan dia”. Lihat R.A. Datuk Beser dan R. Roolvink. 1953.
[5] Muhd. Yusof Ibrahim. Ilmu Sejarah; Falsafah Pengertian Kaedah dan Pensejarahan edisi ke-2. 2013. Hlm. 246
[6] Muhd. Yusof Ibrahim. Ilmu Sejarah; Falsafah Pengertian Kaedah dan Pensejarahan edisi ke-2. 2013. Hlm. 247
[7] Muhd. Yusof Ibrahim. Ilmu Sejarah; Falsafah Pengertian Kaedah dan Pensejarahan edisi ke-2. 2013. Hlm. 247
[8] Muhd. Yusof Ibrahim dan Mahayudin Hj. Yahaya, Sejarawan dan Pensejarahan, hlm. 182
[9] Muhd. Yusof Ibrahim. Ilmu Sejarah; Falsafah Pengertian Kaedah dan Pensejarahan edisi ke-2. 2013. Hlm.248
[10] Muhd. Yusof Ibrahim. Ilmu Sejarah; Falsafah Pengertian Kaedah dan Pensejarahan edisi ke-2. 2013. Hlm.249
[11] Muhd. Yusof Ibrahim. Ilmu Sejarah; Falsafah Pengertian Kaedah dan Pensejarahan edisi ke-2. 2013. Hlm.250
[12] Lihat Albert Memmi. The Colonizer and the Colonized. Hlm. 79 – 85, Hlm. 95 – 97, Hlm. 102 – 105
[13] Muhd. Yusof Ibrahim. Ilmu Sejarah; Falsafah Pengertian Kaedah dan Pensejarahan edisi ke-2. 2013. Hlm.251
[14] Muhd. Yusof Ibrahim. Ilmu Sejarah; Falsafah Pengertian Kaedah dan Pensejarahan edisi ke-2. 2013. Hlm.252
[15] Muhd. Yusof Ibrahim. Ilmu Sejarah; Falsafah Pengertian Kaedah dan Pensejarahan edisi ke-2. 2013. Hlm.253
[16] Muhd. Yusof Ibrahim. Ilmu Sejarah; Falsafah Pengertian Kaedah dan Pensejarahan edisi ke-2. 2013. Hlm.254
[17] Carr, E.H., Apakah Sejarah, hlm. 31.
[18] Ibid., hlm. 29 dan 34.
[19] Muhd. Yusof Ibrahim. Ilmu Sejarah; Falsafah Pengertian Kaedah dan Pensejarahan edisi ke-2. 2013. Hlm.255
[20] Ishak Saat. Penulisan Sejarah. 2010. Hlm. 102
[21] Ishak Saat. Penulisan Sejarah. 2010. Hlm. 102 - 105

Thursday, December 26, 2013

khasiat kambing

 Entah mengapa ramai kalangan kita memilih untuk menolak sajian daging kambing yang sering dipersalahkan sebagai penyebab masalah kolestrol dan darah tinggi yang kemudian membawa kepada penyakit jantung.

Sedangkan pada masa kini, kambing merangkumi 63 peratus daging yang dimakan di seluruh dunia, termasuk menjadi sumber protein utama di banyak negara Arab dan Afrika Utara, selain penting di rantau Asia Tenggara, kepulauan Caribbean dan kawasan tropika yang lain.

Di Barat pula, daging kambing makin mendapat publisiti meluas sebagai sumber protein yang lebih menyihatkan berbanding daging lembu, malah terdapat kajian yang menyatakan ia lebih sesuai untuk dimakan oleh penghidap masalah berkaitan jantung.

Kumpulan penyelidik dari Sistem Kerjasama Pendidikan Lanjutan Alabama (Alabama Cooperative Extension System-ACES) yang terdiri daripada Universiti Alabama dan Universiti Auburn misalnya, turut mengadakan program pendidikan awam yang mempromosi daging kambing sebagai makanan yang lebih sihat.

KOMPOSISI KHASIAT

Kajian ACES berkenaan khasiat daging kambing matang berbanding lembu, kambing muda, bebiri, khinzir dan ayam mendapati bahawa daging yang dihasilkan oleh kambing adalah lebih pejal dan mengandungi komposisi khasiat yang lebih baik.

Kesimpulan utama yang mereka dapati ialah kambing mengandungi paras kolestrol dan lemak tepu yang jauh lebih rendah berbanding daging lain, menjadikan ia sebagai pilihan makanan alternatif daging merah terbaik.

Dengan menggunakan potongan daging seberat tiga auns atau 85 gram, didapati kambing hanya mempunyai 2.6 gram kandungan lemak berbanding lembu yang mempunyai 7.9 gram lemak, kambing muda (lamb) (8.1 gram), khinzir (8.2 gram) dan ayam (6.3 gram).

Melihat dari segi kalori pula, kambing mempunyai 122 kalori (kal), berbanding lembu (179 kal), kambing muda (175 kal), khinzir (180 kal) dan ayam (162 kal).

Selain itu, kandungan lemak tidak tepu kambing jauh lebih tinggi berbanding daging jenis lain, ini adalah baik untuk pemakanan manusia memandangkan lemak tak tepu membantu merendahkan risiko penyakit jantung dan strok.

Kebaikan lain yang menjadikan daging kambing sebagai sumber protein ideal ialah ia mengandungi semua jenis asid amino yang diperlukan tubuh serta kandungan zat besi yang tinggi dan mampu membantu penghidap anemia.

BAIK UNTUK JANTUNG

Kajian klinikal oleh Universiti Harvard pula, mengesahkan bahawa lemak tepu adalah lemak tidak sihat yang meningkatkan risiko pelbagai penyakit kardiovaskular, sedangkan lemak tidak tepu bagus untuk membantu membaiki paras kolestrol, melegakan keradangan, menstabilkan rentak jantung dan banyak lagi kebaikan yang lain.

Mereka turut mendapati bahawa lemak tepu menyebabkan paras kolestrol tidak baik meningkat dalam darah sedangkan lemak tidak tepu pula membantu mengurangkan keburukan itu dengan menaikkan paras kolestrol baik.

Keburukan utama kolestrol tidak baik dalam darah ialah kemampuannya untuk melekat di dinding salur arteri dan menyebabkan plak yang menjadikan ruang salur darah sempit atau tersekat, yang seterusnya menyebabkan serangan jantung atau strok.

Lantas penemuan itu mengukuhkan lagi keyakinan ACES bahawa daging kambing membantu mengurangkan paras kolestrol dalam darah, mengurangkan risiko atherosklerosis dan penyakit jantung menjadikannya sesuai dimasukkan ke dalam diet jantung sihat.

Sebagai galakan pemakanan daging kambing, ACES turut menggaris dua peraturan asas menyediakan masakan berasaskan kambing.

"Ini termasuk gunakan suhu rendah kerana suhu yang terlalu panas akan menyebabkan daging kambing cepat liat, peraturan kedua pula ialah memasak daging di dalam kelembapan seperti peraman (marinade) basah sebelum dimasak ataupun masakan berkuah seperti kari atau stew," lapor mereka.

SUSU BERKHASIAT

Semua kelebihan daging kambing dari segi kesihatan itu turut diakui oleh penyelidik dari Jabatan Pertanian Universiti Babcock, Nigeria. Malah, kumpulan penyelidik itu menekankan kepentingan nilai nutrisi kambing dalam aspek pengurusan kesihatan manusia sebagaimana yang dilaporkan menerusi artikel mereka yang diterbitkan dalam Jurnal Pertanian dan Kajihayat Amerika Utara.

Antara lain, artikel itu menyebut bahawa di Okinawa Jepun misalnya, ibu hamil dan yang baru bersalin digalakkan memakan daging kambing untuk menguatkan fizikal dan mengatasi keletihan.

Ia turut membincangkan kepentingan susu kambing yang mempunyai komposisi yang lebih unik iaitu globular lemak yang lebih kecil dan mudah dihadamkan berbanding susu lembu.

"Sifat itu membolehkan susu kambing digunakan untuk merawat masalah alergi pada susu lembu, menjadikannya susu alternatif terbaik dan sangat penting kepada bayi, orang dewasa dan juga ibu yang menyusukan bayi," tambah laporan itu.

Selain itu, mereka mendapati kandungan zat mineral susu kambing adalah lebih tinggi berbanding mamalia lain menjadikannya amat berguna untuk merawat penyakit anemia yang diakibatkan oleh kekurangan zat besi dan penyakit tulang rapuh selain dilaporkan berguna dalam rawatan kencing manis.

Artikel itu turut menjelaskan kebaikan susu kambing untuk kesihatan kulit, khususnya untuk membantu merawat penderita masalah seperti psoriasis, ek zema atau jerawat.

"Pakar dermatologi biasanya menggalakkan pesakit menggunakan sabun pembersih berpelembab berasaskan susu kambing untuk membantu melegakan kulit kering dan gatal dan seterusnya menyembuhkan penyakit kulit," lapornya.

POTENSI PENTERNAKAN

Memandangkan terdapat banyak bukti saintifik berkaitan khasiat dan kebaikan daging serta susu kambing yang semakin diketahui ramai, maka tidak mustahil permintaan bekalan global akan melonjak naik dalam waktu terdekat.

Malaysia dilihat amat berpotensi untuk muncul sebagai pengeluar kambing bagi memenuhi permintaan itu berdasarkan kesesuaian keadaan iklim negara yang panas dan lembab sepanjang tahun.

Penternakan kambing meskipun dimulai secara kecil-kecilan tetap mampu mencapai kejayaan yang tinggi memandangkan kambing matang dengan cepat dan membiak seawal usia lapan bulan.

Lagipun, pemakanan kambing tidak cerewet dan boleh dibiarkan bebas meragut rumput dan tumbuhan renek belukar di kawasan kampung selain najisnya yang lebih kecil dan tidak sebusuk najis lembu.

Walaupun satu ketika dulu, penternakan kambing di Malaysia lebih sinonim dengan kaum India yang memang gemarkan sajian kambing terutamanya masalla, trend itu mula berubah kebelakangan ini.

Kini, semakin ramai pengusaha muda Melayu termasuk lepasan ijazah yang menjadikan kambing sebagai sumber rezeki khususnya bagi memenuhi permintaan untuk majlis akikah dan Hari Raya Aidiladha.

Tambahan pula, kerajaan telah banyak mengadakan pelbagai galakan untuk pengusaha muda membangunkan diri menjadi usahawan kambing yang berjaya sekaligus memajukan industri penternakan kambing untuk membantu menjana ekonomi kawasan luar bandar.

Ini sekaligus menggalakkan percambahan ladang penternakan dari pelbagai baka dan hibrid kambing, menyediakan pelbagai peluang kerja kepada anak muda dan membantu menjana ekonomi luar bandar tanpa banyak risiko. - Bernama

Tuesday, December 10, 2013

cinta kolesterol?




CHECK IT OUT! the cholestrol content in our foods.... heh heh

kesan kemelesetan ekonomi dunia terhadap kegiatan ekonomi di negeri-negeri Melayu sebelum perang dunia ke-2



well, yeah kali ni kita akan membincangkan tentang tajuk yg aku dah tulis kat atas tu, citer ni berkait dgn sosioekonomi.. xtau apa tu sosioekonomi? google je..


1.0       PENGENALAN
Zaman Meleset/The Great Depression ialah satu tempoh yang menyaksikan kemerosotan ekonomi dunia sekitar 1920-an dan 1930-an. Tempoh ini dianggap sebagai zaman kemelesetan ekonomi terbesar dan paling penting dalam sejarah dunia dan sering digunakan pada abad ke-21 sebagai kayu pengukur dalam membandingkan sejauh mana ekonomi zaman moden boleh mengalami kejatuhan.
Para sejarawan bersepakat bahawa zaman kemelesetan ini bermula di Amerika Syarikat,   apabila pasaran sahamnya jatuh merudum pada 29 Oktober 1929 dan peristiwa ini dikenali sebagai Keruntuhan Wall Street 1929 atau Black Tuesday[1]. Ini diikuti pula dengan penurunan saham di Eropah dan Australia. Asia turut menderita kerana terdapat rakan dagang yang menjadi miskin dan tidak bekerjasama. Kemelesetan ini dikatakan tamat di ambang Perang Dunia Kedua sekitar 1939 disebabkan persediaan perang yang merangsang ekonomi.[2]
Kemelesetan ini mempunyai kesan yang mendalam terhadap kedua-dua negara perindustrian dan pengeksport galian mentah. Perdagangan antarabangsa turun mendadak sebagaimana pendapatan persendirian, hasil cukai, harga-harga dan keuntungan. Bandar-bandar di seluruh dunia menerima kesan paling teruk terutamanya yang bergantung kepada industri berat. Projek pembinaan dihentikan hampir serta-merta di merata-rata tempat. Pertanian dan kawasan luar bandar mengalami kejatuhan harga tanaman sekitar 40 dan 60 peratus.[3]
Kawasan-kawasan yang sering bergantung kepada satu-satunya sektor perusahaan utama seperti perladangan, perlombongan dan pembalakan mengalami kesan yang paling teruk akibat peningkatan mendadak terhadap peluang pekerjaan meskipun memiliki sumber lain yang sedikit. Walaupun Bursa Saham New York baru sahaja jatuh merudum pada tahun 1929, semangat optimistik masih ada untuk menghadapi zaman kemelesetan ini.
Kemelesetan ekonomi dunia pada tahun 1920 – 1930 ini juga telah memberi kesan ke atas perusahaan-perusahaan di Tanah Melayu. Antara perusahaan yang terjejas teruk akibat kemelesetan ekonomi dunia ialah perusahaan getah dan bijih timah. Ini kerana British lebih menumpukan kepada dua komoditi ini (bijih timah dan getah) berbanding hasil bumi lain.[4] Proses perubahan ekonomi di Tanah Melayu berkait-rapat dengan pertumbuhan dan perkembangan dua industri utama, iaitu getah dan bijih timah.
2.0              FAKTOR BERLAKUNYA KEMELESETAN EKONOMI DUNIA

2.1       Pembayaran upah tidak sama rata;
Sebaik sahaja Perang Dunia Pertama tamat pada 1918, ekonomi mula mencanak naik pada awal 1920-an. Tempoh ini dikenali dengan ‘ledakan ekonomi pasca perang’. Pengeluaran industri mula meningkat namun pembayaran upah kepada pekerja tidak sepertimana peningkatan industri.
Oleh yang demikian, golongan pekerja terpaksa membuat pinjaman bank sekiranya ingin berbelanja besar dan sesetengahnya pula terpaksa mengehadkan perbelanjaan. Kesannya menyebabkan pengaliran wang tidak lancar sehingga banyak kilang industri dan pusat perniagaan mengalami bankrap.
Sistem perbankan pula mengalami nasib yang lebih teruk apabila gagal mendapat bayaran balik daripada golongan peminjam. Menjelang tahun 1930-an, lebih 3,000 buah bank terpaksa gulung tikar.

2.2              Penurunan harga saham yang naik mendadak;
Pasaran saham memainkan peranan penting semasa berlakunya Kemelesetan Besar di Amerika Syarikat. Pada 24 Oktober 1929, pasaran saham di New York Stock Exchange ditutup dengan cukup rendah. Insiden yang diingati sebagai Black Tessday ini menimbulkan kekalutan dalam kalangan pelabur, pemegang saham dan para spekulator.
Mereka bertindak menjual kesemua saham sebanyak 16.4 juta saham pada 29 Oktober 1929 dan direkodkan antara yang paling banyak dalam sejarah. Nilai pada masa kini boleh mencapai sehingga 185 juta dolar.
Penurunan harga saham terus jatuh selama dua tahun tanpa tanda-tanda peningkatan. Ia seterusnya tidak banyak meningkat sehingga 25 tahun berikutnya iaitu pada 25 November 1954.

3.0            PERUSAHAAN GETAH DI TANAH MELAYU
Getah mula diperkenalkan di Tanah Melayu pada abad ke-19 dan menjadi tanaman popular sejak awal abad ke-20. Getah telah melalui zaman mewah antara tahun 1906 hingga 1918 apabila harga meningkat kepada $5 sepaun. Kenaikan harga pada masa ini telah menggalakkan penanaman getah di Tanah Melayu dan negeri-negeri lain seperti Indonesia, Thailand, Indo-China dan lain-lain.
3.1       Perusahaan getah pada tahun 1920-an
Pada tahun 1920 – 1930, lebih 290,000 ekar ditanam dengan getah dan Tanah Melayu menyumbangkan separuh daripada jumlah eksport dunia. Berikutan ini, pengeluaran getah bertambah melebihi permintaan pengguna. Pengeluaran yang berlebihan dan kemelesetan ekonomi menyebabkan berlaku kejatuhan harga getah di mana pada tahun 1920 harga getah hanya 20 sen sepaun dan pada tahun 1931 – 1932, harga getah hanya 5 – 7 sen sepaun.
Perang Dunia Pertama antara 1914 – 1918 menyebabkan getah tidak dapat dieksport ke Eropah kerana peperangan dan masalah kekurangan kapal. Akibatnya terdapat banyak simpanan getah di negara-negara pengeluar getah. Keadaan semakin meruncing apabila Amerika, pengimport utama getah mengurangkan import getah kerana menumpukan kepada industri mengeluarkan perkakas perang.
Kesannya, peladang dan pekebun getah menghadapi kehidupan perit terutamanya semasa Perang Dunia Pertama (1914-1918) dan beberapa tahun selepas tamatnya peperangan itu. Hal ini kerana harga getah telah jatuh ke paras yang paling rendah.
3.2              Sebab-sebab harga getah merosot:
Sebab yang pertama ialah Amerika yang menggunakan kira-kira 77% daripada pengeluaran getah dunia telah mengurangkan penggunaan getah kerana perusahaan keretanya dihadkan demi menumpukan perhatian kepada pengeluaran alat-alat kelengkapan perang.
Seterusnya, harga getah merosot kerana kekurangan pengangkutan perkapalan semasa peperangan telah menjejaskan eksport getah ke Amerika Syarikat dan Eropah. Walaupun begitu, pengeluaran getah di Tanah Melayu tidak berhenti. Pokok-pokok getah yang ditanam sebelum Perang Dunia Pertama mula mengeluarkan hasil. Apabila peperangan tamat, pengeluaran getah menjadi terlalu banyak, manakala permintaan bagi getah amat terhad.
Ini menyebabkan harga getah jatuh dengan teruknya sedangkan kos pengeluarannya masih tinggi. Harga getah menjunam jatuh dari $5.50 sepaun kepada 85 sen pada tahun 1918 dan seterusnya kepada 20 sen pada tahun 1922. Pada masa itu, kos pengeluaran getah adalah 40-50 sen sepaun.
Kemelesetan perusahaan getah membimbangkan kerajaan British kerana masalah ini memburukkan lagi masalah kewangan kerajaan yang terpaksa membayar balik hutang peperangan kepada Amerika Syarikat yang telah membantunya dalam peperangan itu. Oleh itu, kerajaan British telah mengambil langkah yang tegas untuk mengawal kemerosotan harga dan lebihan pengeluaran getah.
3.3              Perusahaan getah pada tahun 1930-an
Menjelang tahun 1930-an, perusahaan getah telah berkembang sehingga menjadi perusahaan dan sumber pendapatan eksport yang utama di Semenanjung Tanah Melayu tetapi zaman kemelesetan ekonomi dunia berlaku sekali lagi pada awal tahun 1930-an. Keadaan perusahaan getah di Tanah Melayu ibarat “sudah jatuh ditimpa tangga”.
Pada awal tahun 1932, harga getah jatuh kepada 7 sen sepaun dan pada bulan Jun 1932 pula, getah mencatatkan harga yang paling rendah iaitu 5 sen sepaun. Kemelesetan ekonomi dunia telah mengurangkan permintaan terhadap getah dalam kalangan negara-negara pengimport getah sementara pengeluaran getah semakin bertambah dan terdapat simpanan yang bertimbun dalam kalangan negara-negara pengeluar.
Punca utama pengurangan permintaan dunia terhadap getah ialah berkurangnya penggunaan getah di Amerika Syarikat akibat kemerosotan perusahaan keretanya. Amerika Syarikat mengeluarkan hampir 90% daripada jumlah keluaran kereta dunia dan menggunakan 75%-80% daripada pengeluaran getah dunia. Akibatnya, keluaran keretanya telah merosot daripada 5 juta unit kepada 1 juta unit pada tahun 1929. Oleh itu, perusahaan tayar kereta turut menurun daripada 77 juta unit pada tahun 1928 kepada 4 juta unit pada tahun 1932.
Kejatuhan harga getah telah membimbangkan negara-negara pengeluar terutamanya kerajaan British. Hal ini menyebabkan negara-negara pengeluar dunia bersetuju untuk mengadakan perundingan bagi mengatasi masalah tersebut.
Hasil daripada perundingan itu, negara-negara pengeluar getah dunia menandatangani Rancangan Peraturan Getah Antarabangsa pada bulan Mei 1934. Rancangan ini dianggotai oleh hampir semua pengeluar getah dunia termasuk Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, Thailand, Myanmar, Indonesia, Indo-China, Sri Lanka dan India. Negara-negara ini mengeluarkan kira-kira 98.7% daripada jumlah pengeluaran getah dunia pada tahun 1934. Selepas Perang Dunia Kedua pula, harapan untuk memulihkan harga getah dalam masa yang singkat musnah. Ini kerana tindakan Amerika Syarikat memperkenalkan getah tiruan menjadi satu ancaman kepada perusahaan getah.
Getah tiruan kemudiannya diperkenalkan sebagai pilihan lain bagi menggantikan getah asli yang terputus bekalannya di pasaran dunia selepas pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Getah tiruan menjadi saingan utama kepada pengeluaran getah asli dan memberi kesan kepada negara-negara pengeluar termasuk Tanah Melayu yang merupakan antara pengeluar getah terbesar di dunia.
4.0       KESAN KEMELESETAN EKONOMI DUNIA KEPADA PERUSAHAAN GETAH 1920-AN-1930-AN DI TANAH MELAYU
Kejatuhan harga getah bukan sahaja dirasai oleh pemilik ladang getah tetapi juga orang ramai. Ramai pekerja ladang telah diberhentikan dan menyebabkan berlakunya pengangguran. Sebahagian daripada mereka terutamanya orang India telah dihantar pulang ke India atas perbelanjaan kerajaan.[5]
Kejatuhan harga getah telah menyebabkan pemilik ladang tidak dapat menjelaskan hutang mereka kepada ceti. Akibatnya banyak ladang getah jatuh ke tangan ceti. Sebagai contoh, pada tahun 1922, berpuluh-puluh ekar ladang getah telah dirampas oleh ceti kerana kegagalan pemilik-pemilik menjelaskan hutang. [6]
Sebelum itu, British juga terpaksa menjelaskan hutangnya kepada Amerika yang telah membantu British dalam Perang Dunia Pertama. Keadaan ini juga tentu akan membahayakan kedudukan mata wang sterling.Tindakan memberhentikan pekerja ladang menyebabkan berlakunya pengangguran dan kerajaan tidak mampu untuk menghantar pulang semua pekerja ladang yang diberhentikan. Akibatnya, berlaku pelbagai kegiatan jenayah kerana penglibatan mereka dalam kegiatan merompak, mencuri, pecah rumah dan sebagainya.
Pada tahun 1930, terdapat 9000 kes jenayah yang dilaporkan tetapi pada tahun 1931, jumlahnya meningkat kepada 10500 kes jenayah. Kejatuhan harga getah telah menyebabkan pekebun kecil mengambil sikap yang negatif. Mereka tidak sanggup menanam semula getah kerana mengambil masa 7-8 tahun untuk mendapatkan hasil dan pada masa yang sama, harga getah masih rendah. Akibatnya, ramai pekebun kecil telah beralih kepada kegiatan ekonomi lain seperti menanam padi, menjadi nelayan dan sebagainya. [7]Tindakan pekebun kecil ini telah menyebabkan kemerosotan pengeluaran getah mereka. Sebagai contoh, pada tahun 1934, pekebun kecil mengeluarkan 48% getah di Tanah Melayu dan ladang mengeluarkan sebanyak 52% getah. Tetapi pada tahun 1942, keluaran pekebun kecil menurun kepada 39% dan keluaran dari ladang meningkat kepada 61%



5.0       LANGKAH MENGAWAL KESAN KEMELESETAN EKONOMI DUNIA TERHADAP PERUSAHAAN GETAH DI TANAH MELAYU
5.1              Rancangan Sekatan Stevenson (1922-1928)
Pada tahun 1921, jawatankuasa Stevenson telah ditubuhkan oleh Kerajaan British untuk mengkaji langkah-langkah mengawal kemerosotan perusahaan getah. Pada bulan November tahun 1922, Rancangan Sekatan Stevenson dimulakan hasil daripada kaji selidik jawatankuasa ini. Skim ini mengenakan sekatan kepada pengeluaran getah. British telah menetapkan kuota pengeluaran getah bagi negeri-negeri pengeluar getah dan sebarang jumlah yang melebihi kuota itu dikenakan cukai eksport larangan.
Kuota pengeluaran di Sarawak ialah 24000 tan pada tahun 1934 dan kemudian kuota itu ditambah kepada 32000 pada tahun 1938. Sementara Sabah pada awalnya diberi kuota pengeluaran 60 peratus daripada pengeluaran tahun 1921 telah ditambah sehingga 75 peratus berikutan bantahan yang dibuat tentang jumlah itu.
Skim sekatan ini hanya dilaksanakan di Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Ceylon yang mengeluarkan 25 peratus dari bekalan getah dunia. Sebaliknya, Hindia Timur Belanda (Indonesia) yang menjadi salah sebuah pengeluar getah terbesar tidak mahu mengehadkan pengeluaran dan enggan menyertai skim ini.[8]
Mengikut rancangan ini, pengeluaran getah dihadkan kepada lebih kurang 60% sahaja daripada jumlah pengeluaran pada tahun 1920. Bagi menjayakan rancangan ini, Tanah Melayu mengurangkan pengeluarannya daripada 50% kepada 38%. Hasilnya pada tahun 1925, harga getah meningkat kepada $2 sepaun.
Sungguhpun begitu, rancangan ini tetap gagal kerana pengeluaran getah dari negara lain tidak dapat dikawal. Indonesia telah menambahkan pengeluarannya dari 24% kepada 38%. Syarikat-syarikat Amerika telah membuka ladang getah baru seperti Syarikat Ford di Brazil dan Syarikat Firestone di Liberia. Rancangan ini juga tidak disertai oleh negara pengeluar terbesar lain iaitu Hindia Timur Belanda menyebabkan rancangan ini ditamatkan pada 31 Oktober 1928.
Walaubagaimanapun, pengenalan skim ini juga telah meninggalkan beberapa kesan buruk kepada perusahaan getah di Tanah Melayu. Antara kesan yang utama, walaupun  harga getah meningkat semula 35 hingga 40 sen sepaun pada tahun 1928, tetapi Tanah Melayu terpaksa menanggung kerugian kerana mengurangkan pengeluaran getah. Hasil pengeluaran getah di Tanah Melayu merosot daripada 70 peratus pada tahun 1921 kepada 52 peratus pada tahun 1928. Sebaliknya, negara pengeluar terbesar lain seperti Hindia Timur Belanda yang tidak menyertai skim ini mendapat keuntungan apabila harga getah meningkat sedikit. Pada masa yang sama, pengeluaran Hindia Timur Belanda meningkat daripada 20 peratus kepada 40 peratus.
Selepas Rancangan Sekatan Getah Stevenson dihentikan, jumlah pengeluaran getah di Tanah Melayu meningkat dengan mendadak, walaupun harga getah masih berada di paras yang rendah. Keadaan ini bukan sahaja tidak dapat dipulihkan, tetapi diburukkan lagi oleh kemelesetan ekonomi dunia yang bermula sekali lagi pada bulan Oktober 1929. Kemelesetan ini mengakibatkan harga getah terus jatuh sehingga 7.07 sen sepaun pada tahun 1932.[9]
5.2              Rancangan Peraturan Getah Antarabangsa (1934-1943)
Pada bulan April 1934, satu perjanjian Peraturan Getah Antarabangsa telah ditandatangani antara kerajaan British, Belanda, India, Perancis dan Siam berkuatkuasa pada 1 Jun 1934 dan berakhir pada tahun 1938. Kelima-lima kerajaan memiliki hampir 98 peratus daripada jumlah keluasan tanah yang ditanam getah di seluruh dunia. Perjanjian ini kemudian dilanjutkan selama lima tahun lagi sehingga tahun 1943.
Antara langkah yang diambil melalui  Rancangan Peraturan Getah Antarabangsa ini ialah memperkenalkan kuota eksport bagi setiap negara anggota dan menghalang negara anggota menambahkan keluasan tanah yang sedia ada untuk penanaman getah. Penanaman baru dan penanaman semula adalah tidak digalakkan.
Sepanjang tempoh sekatan itu, harga getah bertambah baik dan meningkat daripada 20 sen sepaun pada tahun 1935 kepada 43 sen sepaun pada tahun 1937. Kejayaan ini dicapai kerana hampir semua negara anggota mematuhi peraturan perjanjian yang ditetapkan. Menjelang tahun 1937, beberapa syarikat getah mula memperoleh keuntungan semula. [10]
Rancangan ini berjaya menstabilkan harga getah kerana:
a. Hampir semua negara pengeluar getah sedunia telah menganggotai dan mematuhi peraturan-peraturan rancangan tersebut.
b. Kemelesetan ekonomi dunia telah berakhir menjelang pertengahan tahun 1930-an dan permintaan getah dunia semakin bertambah.
c. Ekonomi Amerika Syarikat berkembang dengan pesat dan kemajuan dalam industri automobil menambahkan penggunaan getah kepada 80% daripada pengeluaran getah dunia sebelum ini.
5.3       Cuti Menoreh bulan Mei 1930
Cuti menoreh ini diwujudkan untuk mengurangkan kos pembayaran upah kepada pekerja. Bilangan pekerja juga dikurangkan dan upah diturunkan bagi pekerja yang tidak diberhentikan. Rancangan ini tidak berjaya dilaksanakan kerana penoreh getah tetap datang menoreh seperti biasa.[11]
5.4              Pusat Penyelidikan Getah (RRI)
Kejatuhan harga getah menyebabkan kerajaan mengambil langkah untuk menjalankan penyelidikan bagi meningkatkan mutu getah. Untuk tujuan tersebut, Pusat Penyelidikan Getah (RRI) telah ditubuhkan pada tahun 1926 di Sungai Buloh, Selangor dan Kota Tinggi, Johor.
RRI ini bertujuan untuk menjalankan penyelidikan bagi mencari cara-cara yang lebih baik bagi menanam getah, penggunaan getah, cara memproses susu getah dan sebagainya. RRI kemudiannya memberi sumbangan penting dalam perusahaan getah di Tanah Melayu.[12]
5.5              Langkah berjimat-cermat
Kejatuhan harga getah menyebabkan pendapatan kerajaan melalui cukai eksport ke atas getah berkurangan. Untuk mengatasi masalah ini, kerajaan telah menubuhkan jawatankuasa mengurangkan perbelanjaan pada Oktober 1931. Laporan Jawatankuasa tersebut menetapkan bilangan kakitangan kerajaan serta gaji mereka dikurangkan sebanyak13%.
Antara jabatan yang terlibat ialah Jabatan Polis, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Pelajaran. Tindakan mengurangkan kakitangan kerajaan menyebabkan berlakunya pengangguran antara mereka manakala tindakan mengurangkan gaji membebankan ekonomi mereka. Selain itu, pembangunan awam diberhentikan selama 2 tahun.
5.6              Rang undang-undang imigran
Pada tahun 1930, kerajaan telah mengeluarkan rang undang-undang imigran bagi menyekat kemasukan imigran ke Tanah Melayu. Pada tahun 1933, rang undang-undang orang dagang dilaksanakan bagi menyekat kemasukan mereka. Rang undang-undang ini bertujuan untuk menyekat kemasukan imigran supaya tidak berlaku pengangguran yang berleluasa di Tanah Melayu.
5.7              Mempelbagaikan tanaman
Kejatuhan harga getah menyebabkan kerajaan sedar bahayanya kebergantungan kepada satu jenis tanaman sahaja. Akibatnya penduduk Tanah Melayu mula menanam tanaman seperti koko, nenas dan sebagainya selain dari menanam getah. Selain itu, penduduk Tanah Melayu juga digalakkan menceburi bidang ekonomi lain selain dari bertani.
5.8              Menambahkan pengeluaran makanan
Sejak 1920-an, terutamanya pada tahun 1930-an, kerajaan mula mengambil langkah-langkah bagi menambahkan pengeluaran makanan, terutamanya padi. Buat pertama kali, kerajaan mula mengambil langkah-langkah bagi membina sistem pengairan, membuka tanah pertanian baru dan menggalakkan penanaman padi 2 kali setahun. Tujuannya ialah supaya penduduk Tanah Melayu tidak akan mengalami kekurangan makanan sekiranya berlaku lagi kemelesetan ekonomi seperti pada tahun 1920-an dan 1930-an.
5.9                 Menyusun semula pentadbiran ladang
Kejatuhan harga getah menyebabkan pengusaha-pengusaha ladang terutamanya ladang Eropah mengambil langkah menyusun semula pentadbiran yang dianggap “Top Heavy” bagi menjimatkan perbelanjaan. Pegawai-pegawai Eropah digantikan dengan penyelia-penyelia berbangsa Asia dan bilangan kakitangan serta gaji mereka dikurangkan. Sebagai contoh, pada tahun 1918 terdapat 4 orang pegawai Eropah di setiap ladang, manakala 1928 hanya tinggal 2 orang pegawai Eropah di setiap ladang dan 1932 hanya tinggal seorang pegawai Eropah di setiap ladang.
5.10          Mengurangkan gaji dan pekerja
Kerugian yang dialami akibat daripada kejatuhan harga getah telah menyebabkan pihak pengurusan ladang mengambil langkah-langkah mengurangkan pekerja ladang. Tindakan memberhentikan mereka menyebabkan berlakunya pengangguran. Pada tahun 1929, terdapat 258 ribu orang pekerja tetapi pada tahun 1932, hanya tinggal 145 ribu orang pekerja ladang. Sebahagian daripada mereka telah dihantar pulang ke India atas perbelanjaan kerajaan.
Antara tahun 1930-1933, 370 ribu orang telah dihantar pulang ke India. Selain itu, gaji mereka juga dikurangkan. Pada tahun 1932, gaji pekerja ladang ditetapkan 20 sen sehari sedangkan sebelumnya iaitu pada tahun 1929, gaji pekerja ladang adalah antara 50-55 sen sehari.
6.0              PERUSAHAAN GETAH SEMASA DAN SELEPAS PERANG DUNIA KEDUA
Semasa pendudukan Jepun (1942-1945) di Tanah Melayu, pengeluaran getah hampir terhenti sama sekali. Hubungan perdagangan Tanah Melayu dengan pasarannya di Amerika Syarikat dan Eropah terputus. Banyak ladang getah telah dimusnahkan oleh pihak British semasa mereka berundur supaya orang Jepun tidak mendapat hasil getah. Ada di antara ladang-ladang yang telah terbiar. Pihak Jepun pula telah melancarkan gerakan memusnahkan pokok getah dan menggantikannya dengan tanaman makanan.
Semasa Perang Dunia Kedua, Amerika Syarikat menghadapi masalah kekurangan getah apabila Asia Tenggara diserang oleh Jepun. Untuk mengatasi masalah ini, Amerika Syarikat telah mengeluarkan getah tiruan.
Selepas peperangan, getah tiruan memberi persaingan kerana getah asli sebab penggunaannya telah diperkenalkan ke semua negeri perindustrian. Pada tahun 1955, penggunaan getah tiruan telah menjadi 1/3 penggunaan getah di dunia. Getah asli dari Tanah Melayu masih diperlukan kerana ia mempunyai keistimewaan sendiri yang tidak boleh diatasi oleh getah tiruan.
7.0       PERUSAHAAN BIJIH TIMAH DI TANAH MELAYU
Perlombongan bijih timah bermula sejak tahun 1820 dengan kedatangan imigran dari negeri China ke Perak dan Selangor. Di Selangor, perlombongan bijih bermula dalam tahun 1824, dikendalikan oleh kaum Hakka. Disebabkan bijih timah di SelangorPerak dan Negeri Sembilan didapati dalam bentuk bijih lanar (alluvial tin), proses perlombongan adalah lebih mudah dan lebih murah berbanding dengan proses perlombongan di Cornwall dan di lain-lain lokasi di Eropah.
Ledakan perlombongan berlaku dalam tahun 1870-an dengan permintaan yang bertambah dari Eropah dan Amerika Syarikat. Britain kini menjadi pembekal utama timah di pasaran dunia. Permintaan untuk timah melonjak dengan permintaan yang bertambah daripada industri mengetin makanan.[13]

8.0              KESAN KEMELESETAN EKONOMI DUNIA TERHADAP EPERUSAHAAN BIJIH TIMAH PADA TAHUN 1920-AN-1930-AN DI TANAH MELAYU
Pada masa ekonomi dunia mengalami zaman kemelesetan sekitar tahun 1929 hingga 1932, perusahaan bijih timah turut terjejas. Harga bijih timah menjunam sehingga ke paras yang rendah, akibat kekurangan permintaan di pasaran Eropah. Misalnya, harga bijih timah merosot daripada $2414 satu tan pada tahun 1926 kepada $1020 satu tan pada tahun 1931.
Kejatuhan harga bijih timah menyebabkan banyak lombong terpaksa ditutup kerana mengalami kerugian. Ini mengakibatkan berlaku pengangguran dalam kalangan pekerja Cina sehingga kerajaan British bertindak menghantar pulang pekerja Cina ke negara China semula. Pada tahun 1931, kira-kira 10,000 orang pekerja lombong di Perak dihantar pulang ke negara China dan ada yang membuat keputusan untuk pulang secara sukarela.[14]
9.0              LANGKAH MENGAWAL KESAN KEMELESETAN EKONOMI DUNIA TERHADAP PERUSAHAAN BIJIH TIMAH

9.1              Pembekuan permohonan membuka lombong-lombong baru
Pada tahun 1929, pihak kerajaan bertindak membekukan permohonan untuk membuka lombong-lombong baru. Selain itu, kerajaan berusaha mengehadkan pengeluaran bijih timah secara sukarela, tetapi usaha tersebut tidak begitu berkesan. Oleh itu sebagai pengeluar bijih timah terbesar di dunia, kerajaan British mencadangkan satu skim untuk mengawal harga dan pengeluaran bijih timah bagi mengurangkan lebihan penawaran supaya sejajar dengan permintaan pasaran dunia. [15]
9.2              Perjanjian Bijih Timah Antarabangsa
Bagi mengawal harga dan pengeluaran bijih timah, Tanah Melayu dan negara pengeluar bijih timah yang lain seperti Bolivia, Hindia Timur Belanda (Indonesia) dan Nigeria bersetuju menandatangani Perjanjian Bijih Timah Antarabangsa pada tahun 1931. Perjanjian ini yang dikenali sebagai Skim Kawalan Timah telah diperbaharui pada tahun 1934 dan 1937.[16]
Menerusi Perjanjian Bijih Timah Antarabangsa, negara-negara pengeluar diberi kuota pengeluaran tertentu berdasarkan kepada angka pengeluaran pada tahun 1929 dengan tujuan untuk mengelakkan lebihan penawaran.[17]
9.3              Majlis Timah Antarabangsa
Penyelarasan pengeluaran bijih timah di bawah perjanjian Bijih Timah Antarabangsa ini dikendalikan oleh Majlis Timah Antarabangsa. Kawalan perjanjian bijih timah melalui perjanjian ini berjaya menstabilkan harga bijih timah. Pada tahun 1931, harga bijih timah meningkat semula daripada $1020 satu tan kepada $1185 satu tan pada tahun 1935. Namun begitu, kawalan pengeluaran bijih timah melalui perjanjian ini memberi kesan buruk kepada perusahaan bijih timah di  Tanah Melayu akibat kuota pengeluaran yang rendah.[18]
9.4              Pengeluaran ditingkatkan pada paras harga rendah
Akibat kuota pengeluaran yang rendah, eksport bijih timah di Tanah Melayu menurun daripada 37 peratus pada tahun 1930 kepada 28 peratus pada tahun 1938 daripada jumlah keluaran bijih timah dunia. Oleh sebab itu Tanah Melayu tidak mampu menghadapi kejatuhan harga yang lebih rendah, kuantiti pengeluaran terpaksa ditingkatkan walaupun pada paras harga yang rendah.
Selepas Perang Dunia Kedua, pengeluaran bijih timah merosot dengan ketara. Pada tahun 1941, sebanyak 79000 tan bijih timah dikeluarkan, tetapi angka ini merosot kepada 3000 tan pada tahun 1945. Harga bijih timah juga sering mengalami keadaan turun naik, akibat permintaan yang tidak tetap di pasaran dunia. Pada tahun 1956, negara-negara pengeluar bijih timah yang utama sekali lagi menandatangani Perjanjian Timah Antarabangsa bagi mengehadkan pengeluaran dan menstabilkan harga.
Secara keseluruhannya, tidak dinafikan bahawa kemajuan awal di negeri-negeri Melayu berkait rapat dengan perkembangan perusahaan bijih timah. Pendapatan daripada perusahaan bijih timah mendatangkan hasil yang lumayan bagi membiayai kemajuan ekonomi di negeri-negeri Melayu pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20.
Misalnya, antara tahun 1880 hingga 1906, cukai eksport bijih timah sahaja berjumlah sekitar 3 peratus hingga 50 peratus daripada jumlah keseluruhan hasil Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Pendapatan ini telah digunakan untuk membiayai urusan pentadbiran dan kemajuan ekonomi di negeri-negeri Melayu. [19]
10.0     PENUTUP
Walaupun Tanah Melayu kaya dengan pelbagai hasil bumi, pada tahun 1920-an hingga 1930-an, pihak British lebih menumpukan kepada perusahaan getah dan bijih timah yang dilihat sebagai komoditi paling bernilai pada masa itu. Akibatnya, pada zaman kemelesetan ekonomi yang berlaku pada tahun 1920-an – 1930-an, harga getah dan bijih timah jatuh secara mendadak dan menjejaskan ekonomi di Tanah Melayu. Kesannya, ramai yang kehilangan hasil pendapatan dan pekerjaan. Kerajaan British melaksanakan pelbagai langkah seperti Rancangan Sekatan Stevenson, Rancangan Peraturan Getah Antarabangsa, cuti menoreh bulan Mei 1930, Pusat Penyelidikan Getah dan beberapa langkah lagi untuk mengatasi kejatuhan harga getah di Tanah Melayu. Kerajaan British juga menjalankan Perjanjian Bijih Timah Antarabangsa, Majlis Timah Antarabangsa dan lain-lain untuk mengatasi masalah yang melanda perusahaan bijih timah pada zaman kemelesetan ekonomi dunia. Langkah-langkah ini telah membantu memulihkan keadaan ekonomi di Tanah Melayu walaupun ada beberapa langkah yang menemui kegagalan.


BIBLIOGRAFI

Surendran Moorthi Rajendran. (2006). Kesan zaman kemelesetan dunia (1929-1933) ke atas sosio-ekonomi negeri Selangor. Kuala Lumpur: Universiti Malaya

John H. Drabble.(2000). An Economic History of Malaysia c. 1800 – 1990. New York: Palgrave Macmillan.

Ruslan Zainuddin (2003). Sejarah Malaysia Edisi ke-2. Shah Alam: Fajar Bakti.
Sheela Abraham. (1993). Sejarah Perkembangan Negara. Shah Alam. Fajar Bakti.



NOTA HUJUNG : 

[1]  Americaslibrary.gov., Depression & WWII (1929-1945) 
[2] Trout Charles H. Boston, The Great Depression, and the New Deal, 1977.
[3] Ruslan Zainuddin, Sejarah Malaysia edisi ke-2, 2003.
[4] Ruslan Zainuddin, Sejarah Malaysia edisi ke-2, 2003. Hlm. 762 – 763.
[5] Ruslan Zainuddin, Sejarah Malaysia edisi ke-2, 2003. Hlm. 762 – 763.
[6] Ruslan Zainuddin, Sejarah Malaysia edisi ke-2, 2003. Hlm. 763.
[7] Ruslan Zainuddin, Sejarah Malaysia edisi ke-2, 2003. Hlm. 762 – 763.
[8] Ruslan Zainuddin, Sejarah Malaysia edisi ke-2, 2003. Hlm.  780.
[9] Ruslan Zainuddin, Sejarah Malaysia edisi ke-2, 2003. Hlm.  780
[10] Ruslan Zainuddin, Sejarah Malaysia edisi ke-2, 2003. Hlm. 781
[11] Ruslan Zainuddin, Sejarah Malaysia edisi ke-2, 2003. Hlm. 781
[13] Ruslan Zainuddin, Sejarah Malaysia edisi ke-2, 2003. Hlm. 767
[14] Ruslan Zainuddin, Sejarah Malaysia edisi ke-2, 2003. Hlm. 768
[15] Ruslan Zainuddin, Sejarah Malaysia edisi ke-2, 2003. Hlm. 768
[16] Andaya dan Andaya, 1983, hlm.45.
[17] Ruslan Zainuddin, Sejarah Malaysia edisi ke-2, 2003. Hlm. 768
[18] Ruslan Zainuddin, Sejarah Malaysia edisi ke-2, 2003. Hlm. 768
[19] Ruslan Zainuddin, Sejarah Malaysia edisi ke-2, 2003. Hlm. 768