Tuesday, January 7, 2014

konsep objektif dan subjektif dalam penulisan sejarah

tugasan ni aku buat masa amik PITO sejarah tahun 2013. setelah berhempas-pulas, inilah hasilnya... :)

Soalan 6 : Nilaikan konsep objektif dan subjektif dalam penulisan dan penyelidikan sejarah.
Pendahuluan
              Sebelum tajuk esei ini diulas dengan lebih lanjut, terlebih dahulu perlu diketahui maksud penulisan, penyelidikan dan sejarah itu sendiri. Untuk mengulas tentang definisi penulisan, pendapat beberapa tokoh telah dimuatkan dalam esei ini.
              Weiner (1967) mengatakan penulisan berkait rapat dengan individu yang ingin mempelajari penulisan dengan cara yang betul dan serius. Murray (1969) pula berpendapat bahawa penulisan merupakan satu bentuk penyelidikan apabila seseorang itu menemui makna dan menghasilkan idea dalam fikirannya. Berlainan pula dengan Juriah Long et.al (1990) yang mendefinisikan penulisan sebagai cara untuk berkomunikasi melalui bentuk grafik. Flower (1980) menyatakan penulisan merupakan satu proses menyelesaikan masalah iaitu segala maklumat yang diperolehi akan diproses bagi mencapai matlamat. Comprone (1978) menyatakan penulisan ialah transkripsi tentang proses mengungkapkan gagasan dalam bentuk karangan, iaitu satu proses mengaktualisasikan fikiran di atas kertas.
               Penyelidikan pula bermaksud mencari maklumat lebih lanjut mengenai sesuatu perkara, menyelami lebih lanjut, menjalankan kajian menyeluruh atau menyiasat dengan lebih mendalam tentang sesuatu. Manheim (1977) menyatakan penyelidikan sebagai penyiasatan yang penuh berhati-hati, mendalam, secara bijak dan meluas mengenai sesuatu perkara atau subjek spesifik, dengan bertujuan meningkatkan dan meluaskan ilmu pengetahuan manusia sejagat. Helmstadter (1970) pula mendefinisikan penyelidikan sebagai aktiviti penyelesaian masalah yang membawa kepada pengetahuan dan penemuan baru dengan mengunakan kaedah mengenalpasti persoalan yang sedang digunapakai oleh sarjana-sarjana didalam bidang tersebut. Woolf (1975) menyatakan penyelidikan adalah suatu penyiasatan atau ujikaji yang bertujuan menemukan dan menginterpretasikan fakta-fakta, mengulang semula teori yang diterima didalam penemuan baru atau amalan penggunaan teori yang digunapakai semula.
              Perkataan Sejarah (History) yang kita gunakan pada masa kini berpunca daripada perkataan Arab iaitu Syajaratun yang bermaksud Pohon. Mengikut pandangan "Bapa Sejarah" Herodotus, Sejarah ialah satu kajian untuk  menceritakan satu kitaran jatuh bangunnya seseorang tokoh, masyarakat dan peradaban. Menurut Aristotle pula, Sejarah adalah peristiwa-peristiwa masa lalu yang mempunyai catatan, rekod-rekod atau bukti-bukti yang kukuh. Menurut R. G. Collingwood, Sejarah ialah sejenis bentuk penyelidikan atau suatu penyiasatan tentang perkara-perkara yang telah dilakukan oleh manusia pada masa lampau[1]. 
             Jadi, dapat disimpulkan bahawa penulisan dan penyelidikan sejarah adalah transkripsi bertulis yang melibatkan penyiasatan khusus tentang peristiwa masa lalu yang mempunyai bukti-bukti yang kukuh.
Konsep Objektif Dalam Penulisan dan Penyelidikan Sejarah            
                Menurut Kamus Dewan, objektif bermaksud kenyataan yang berasaskan fakta yang sebenarnya yang tidak dikuasai atau dipengaruhi oleh perasaan atau prasangka sendiri seseorang itu. Menurut Gottschalk, objektif adalah untuk memperoleh pengetahuan yang tidak memihak dan benar serta bebas daripada reaksi peribadi seseorang. Garraghan menyatakan objektif sebagai sikap neutral yang tidak memihak kepada mana-mana pihak. Donald V. Garowski menyatakan bahawa objektiviti bermaksud menggunakan fakta sejarah tanpa ada perasaan memihak dan prasangka. Sartono menjelaskan kajian sejarah dalam erti kata yang objektif menunjukkan kepada kejadian atau peristiwa itu sendiri, iaitu proses sejarah dalam keadaan yang sebenarnya berlaku[2].
                Sebagai suatu istilah sejarah, maka konsep objektif itu dilihat dari dua perspektif iaitu pengertian asas dan pengertian yang lebih kontroversi. Dari sudut pengertian asas, objektif dalam sejarah adalah tujuan atau sasaran suatu sejarah itu dikaji atau ditulis. Untuk apa dan untuk siapa sejarah itu dikaji? Kebanyakan pensejarahan Melayu ada menyatakan tujuan serta sasaran penghasilan sesebuah karya sejarah itu. Contohnya, Tun Seri Lanang memperbaiki semula “Hikayat Melayu yang dibawa orang dari Goa” dan menamakannya semula sebagai “Sulalatus Salatin”. Tujuannya adalah untuk menurut perintah Sultan Abdullah Ma’ayah Syah. Karya itu juga untuk menggembirakan baginda dan sebagai iktibar bagi generasi yang akan datang[3]. Contoh lain ialah Raja Chulan yang menulis tentang “Misa Melayu” demi memenuhi permintaan Sultan Iskandar. Abdullah Munsyi pula menulis riwayat diri beliau yang berjudul “Hikayat Abdullah”  demi rakan karibnya[4]. Jika diteliti dari contoh-contoh di atas, jelas menunjukkan karya yang ditulis itu mempunyai tujuan seperti memenuhi permintaan atau perintah seseorang.
                   Perspektif kedua yang lebih kontroversi mengenai konsep objektif memerlukan perbincangan yang lebih luas dan mendalam. Perkara ini boleh dianggap sebagai salah satu sifat sejarah itu sendiri. Konsep objektif merupakan satu konsep yang cuba untuk mempersembahkan kajian sejarah yang tepat, benar, mutlak, yakni tiada penambahan atau bias dan sebagainya. Ia didasarkan kepada fakta atau sumber utama yang boleh dipercayai. Tetapi para sejarawan mempersoalkan “adakah sejarah boleh dianggap objektif?”, iaitu adakah sejarah itu tidak boleh dipersoalkan atau dikritik kerana dianggap mutlak kebenarannya, tepat dan tidak boleh mempunyai penambahan?[5]. Adakah sejarah itu boleh ditulis seperti sebenarnya ia berlaku (objektif) walaupun diketahui peristiwa sejarah itu mungkin telah berlaku berabad sebelum ini?
               Walaupun istilah objektif itu nampak kecil, tetapi kontroversi mengenainya adalah besar. W.H Walsh menganggap persoalan dan kontroversi mengenai konsep objektif ini adalah besar dan penting. Hal ini menyukarkan sejarawan bagi mencari dan menentukan kebenaran. Walsh berpendapat beberapa sejarawan mengambilmudah dalam penentuan kebenaran sesuatu peristiwa sejarah. Contohnya, pandangan Leopold von Ranke yang menyatakan bahawa sejarah itu harus dikaji seperti sebenarnya ia berlaku. J.B. Bury pula mengatakan “sejarah itu adalah Sains, tidak lebih dan tidak kurang[6]. Dengan anggapan sejarah itu Sains, maka sejarah akan berada di bawah bidang Sains Sosial dan kebenaran yang dikaji tentang sejarah sama sifatnya seperti Sains, iaitu mutlak, tepat, tidak berubah dan tidak boleh dipersoalkan. Sedangkan ilmu sejarah itu ialah ilmu yang ‘bergerak’ iaitu berubah mengikut zaman. Contohnya, jika ada kajian sejarah yang mempunyai bukti manusia berasal dari monyet, teori itu mungkin diterima pada waktu itu. Teori tersebut boleh ditolak jika ada sejarawan lain pula yang menjumpai bukti manusia bukan berasal dari monyet. Ini kerana sejarah menjadi sahih dengan adanya bukti yang ditemui, bukan berpaksi kepada suatu penemuan sahaja sehingga tidak boleh dipersoal seperti teori Sains. Oleh itu, sejarah itu boleh berubah-ubah mengikut bukti yang ditemui dan benar.
                  Selaras dengan perkembangan zaman, kesedaran mengenai sejarah mula meningkat dan para sejarawan mula memahami bahawa sejarah itu bukanlah objektif sepenuhnya. Ini kerana sejarah tidak mungkin sama sekali menjadi objetif sepenuhnya, kerana kebenarannra bukanlah semutlak kebenaran Sains. Keadaan ini dapat dilihat melalui penghasilan serta perkembangan pensejarahan dalam pelbagai peradaban silam, sama ada di Benua Afrika (Mesir Purba), Eropah (Yunani – Rumawi), Asia, Asia Barat dan Alam Melayu. Contoh-contoh sejarawan yang cuba bersikap objektif dalam pernyataan dan kaedah penyelidikan sejarah ialah Herodotus, Thucydides, Ssu-Ma Chien, al-Masudi, Ali Haji dan ramai lagi. Para sejarawan ini cuba bersikap objektif dalam memaparkan kisah sejarah yang dikaji[7].
            Sebelum munculnya pensejarahan moden sekular Barat pada awal abad ke-19, Ibnu Khaldun, sejarawan Islam pada abad ke-14, menyatakan dalam karyanya, Muqaddimah dan karya keduanya, al-‘Ibar wa diwan al Mubtada’ wa al-khabar fi ayyam al-Arab wa-al-‘jam wa-al-Barbar, takrif yang sangat komprehensif terhadap sejarah, dan menyatakan perkara yang boleh menyebabkan karya sejarah itu lemah malah menyeleweng. Antaranya kerana adanya semangat kepartian atau memihak kepada suatu kepercayaan atau pendapat, iaitu terlalu bergantung kepada suatu sumber yang diperoleh, gagal memahami sumber, berasa yakin kepada yang tidak benar, cuba memuji serta memujuk, jahil tentang hukum yang menguasai perubahan masyarakat dan kegemaran membesar-besarkan suatu peristiwa[8].               
               Perkara ini masih berlarutan sehingga kini. Peradaban Barat kini menjadi pemula kepada konsep dan penghasilan sejarah moden yang bersifat objektif, sebagai menyambung idea Ibn Khaldun. Namun, pada abad ke-19, terdapat tokoh-tokoh yang gigih mengaitkan sejarah dengan konsep-konsep yang objektif atau saintifik. Tokoh-tokoh ini, khususnya Auguste Comte dan Karl Marx, melalui istilah yang melambangkan idea dan inovasi ilmu pengetahuan masing-masing, misalnya positivisme, dialektika materialisme, komunisme saintifik dan sebagainya, telah berusaha membuktikan kebenaran idea mereka itu melalui sejarah yang kononnya mereka anggap sebagai objektif atau saintifik. Mereka melakukan spekulasi terhadap sejarah walaupun  mereka adalah ahli-ahli falsafah sejarah[9]
                Namun, di sebalik perkembangan pensejarahan yang bersifat objektif, masih terdapat sejarawan yang menghasilkan karya secara tidak objektif atau nama lainnya ialah subjektif. Konsep subjektif ini lebih kepada kebebasan menulis, tetapi tetap perlu bersandarkan fakta sejarah. Perbezaanya hanyalah kajian itu akan ditulis dan dihurai mengikut perspektif penulis itu sendiri. Misalnya, penulisan yang bersifat memihak, bertujuan menyanjung atau memperbesar tokoh atau peristiwa yang dikaji, menerapkan nilai budaya atau pandangan dunia mahupun ideologi serta memuatkan pelbagai unsur kesusasteraan[10].
                Keadaan pensejarahan yang bersifat objektif atau subjektif ini menyebabkan seolah-olah wujud dua aliran pensejarahan dalam dunia ini, iaitu satu aliran objektif dan satu lagi aliran bebas (subjektif). Ini mewujudkan persoalan aliran mana yang lebih kukuh dan mengapa wujud dua aliran dalam pensejarahan?. Dari segi bentuk dan perkembangan pensejarahan Melayu pada tahun 1800 – 1950-an, didapati kedua-dua aliran ini berkait-rapat dan saling menyokong antara satu sama lain.  
                Perkara ini bukan sahaja berlaku pada sejawaran Melayu, tetapi juga pada sejarawan Barat, seperti Frank Swettenham, R.J. Wilkinson dan R. O. Winstedt. Mengapakah  perkara ini boleh berlaku? Salah satu jawapan dari persoalan ini ialah kerana tiada kesedaran yang lebih luas tentang sejarah. Ertinya, kesedaran yang ada pada sejarawan berkenaan tidaklah melebihi daripada hakikat bahawa fungsi sejarah adalah untuk dijadikan iktibar sahaja. Oleh sebab itu, isi kandungan sesebuah karya pensejarahan pada masa itu boleh dicampur-adukkan dengan unsur-unsur kesusasteraan seperti dongeng, mitos, legenda serta kata-kata perbualan. Ertinya penulisan sejarah pada masa itu bukanlah semata-mata untuk menghibur, tetapi juga untuk mendapat sesuatu teladan ataupun pengajaran daripadanya. Kisah dongeng juga boleh dijadikan pengajaran atau iktibar. Bentuk perbualan atau percakapan itu dianggap akan memperkuat atau mengukuhkan lagi hasrat untuk memberi iktibar itu.[11]
                 Satu lagi sebabnya ialah pengaruh nilai budaya dan adanya kepentingan yang ingin ditonjolkan dalam penulisan itu. Keadaan ini jelas wujud dalam karya pensejarahan tokoh-tokoh penjajah yang menulis sejarah tanah air dan masyarakat jajahan mereka. Dalam hal ini, mereka tidak melihat sejarah sebagai suatu media yang boleh memberi iktibar tetapi sebagai suatu media yang boleh digunakan untuk melakukan serangan psikologi terhadap masyarakat yang dijajah. Caranya adalah dengan mencemuh serta memperkecil peristiwa sejarah tempatan serta peranan dan tokoh-tokoh tempatan. Dalam pada itu, sejarah negara penjajah itu pula diperkenalkan kepada masyarakat tempatan dan peristiwa serta tokoh-tokohnya diperhebatkan[12]. Wajarkah perkara seperti ini dilakukan?
               Jika diteliti dari konsep pensejarahan sebenar, perkara ini tidak wajar dilakukan kerana pensejarahan tidak bersifat objektif dan sejarah yang dipaparkan sentiasa boleh dipersoalkan kebenarannya. Hal ini bukan bererti mereka langsung tidak mempunyai kesedaran betapa pentingnya kebenaran sejarah itu. Sedikit sebanyak mereka memang mempunyai kesedaran itu, iaitu seperti yang tergambar dalam usaha mereka melakukan penyelidikan serta merujuk kepada sumber-sumber yang bertulis dan juga lisan. Mereka cuba memperlihatkan bahawa mereka tidak bertujuan mengetepikan kebenaran sejarah. Namun dalam penulisan yang demikian, konsep kebenaran yang menyeluruh lagi objektif itu tidak begitu dipentingkan. Perkara utama ialah bagaimana sejarah itu boleh dijadikan iktibar atau dijadikan alat atau media untuk melakukan serangan psikologi demi mengekalkan serta menegakkan kuasa dan keunggulan suatu kuasa atau bangsa terhadap suatu bangsa yang lain. Untuk ini, konsep sejarah yang objektif, apatah lagi saintifik, tentulah tidak diperlukan kerana ditakuti konsep ini tidak boleh dijadikan iktibar atau tidak menghasilkan kesan yang diharapkan dalam hal melakukan serangan psikologi itu untuk menegakkan kuasa penjajahan dan juga imperialisma itu[13].
                Harus diingatkan, konsep objektif pada mulanya cuba meniru konsep ilmu pasti, seperti Sains Tulen yang menganggap kebenaran sebagai suatu yang mutlak dan tidak boleh diubah. Pendokong konsep ini dikenali sebagai ‘objektivis’, dan antaranya ialah sejarawan dari Jerman seperti Leopold von Ranke dan dari England, seperti Acton dan J.B. Bury. Namun, konsep ini tidak dapat dipertahankan kerana kebenaran sejarah tidak setepat dan semutlak kebenaran Sains. Kebenaran sejarah adalah relatif, dengan adanya sumber rujukan yang mencukupi dan juga kaedah penyelidikan yang sewajarnya. Ertinya, kebenaran itu tidak bergantung kepada tindakan atau pengkaedahan seperti uji kaji dalam makmal mahupun pengamatan yang empirikal semata-mata. Kadang-kadang kebenaran sejarah itu relatif pula kepada budaya setempat, penelitian atau kajian sezaman dan tafsiran sejawaran. Pendukung konsep ini dikenali sebagai golongan ‘relativis’ dan antara mereka itu termasuklah Benedetto Croce dari Itali, Arnold Toynbee dan R.G. Collingwood dari England dan R.G. Robinson serta Charles A. Beard dari Amerika Syarikat. Selepas Perang Dunia Kedua, ramai lagi yang telah menganggap diri mereka sebagai termasuk dalam golongan ini[14].
              Hakikatnya, sejarah yang dianggap sebagai suatu bidang ilmu yang objektif tidak boleh diterima lagi. Malah sains tulen yang pada suatu ketika, khasnya pada kurun ke-19, sebelumnya diagungkan sebagai disiplin ilmu yang objektif, juga tidak lagi digembar-gemburkan demikian. Hal ini secara beransur-ansur, para saintis mendapati bahawa teori dan kebenaran Sains atau yang saintifik itu boleh berubah serta tidak setepat yang disangkakan pada awalnya. Dari segi sejarah pula, konsep relatif itu pula bukanlah bererti bahawa tiada langsung wujudnya unsur kebenaran yang maujud atau yang konkrit bagi sesuatu peristiwa sejarah itu. Unsur itu memang wujud. Misalnya, dalam hal memperkatakan peristiwa-peristiwa sejarah seperti pendudukan Jepun, Kemerdekaan Tanah Melayu atau peristiwa yang mempunyai tarikh masing-masing. Tarikh-tarikh tersebut merupakan fakta atau kebenaran sejarah yang tepat, yakni sesuatu yang boleh kita pastikan kebenaran atau ketepatannya. Dari segi ini, J.L. Gaddis mengatakan bahawa, ‘kita jarang bertelagah tentang tarikh-tarikh berlakunya peristiwa-peristiwa besar, ataupun tentang jumlah bagi orang-orang kenamaan’. Ertinya, kita boleh menerima perkara-perkara yang demikian sebagai suatu yang objektif dalam sejarah. Kita juga boleh menerima beberapa perkara yang berupa penyeluruhan ataupun peristiwa-peristiwa penting serta perkembangan yang boleh diukur sebagai perkara yang objektif dalam sejarah. Misalnya, kita harus menerima hakikat bahawa bentuk pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka kurun ke-15 merupakan sistem beraja yang berkuasa mutlak. Contoh lain ialah orang India dan Cina yang memasuki Tanah Melayu beramai-ramai mulai pertengahan kurun ke-19 hingga tahun 1930-an atau Tanah melayu telah mencapai kemerdekaan melalui rundingan damai dengan pihak penjajah British. Contoh lain, selepas kemerdekaan, Malaysia Berjaya mencapai kemajuan dalam jangka waktu yang lebih singkat daripada zaman sebelum kemerdekaan dahulu[15]
Konsep Subjektif Dalam Penulisan dan Penyelidikan Sejarah            
Di samping fakta atau peristiwa yang objektif, terdapat juga perkara yang subjektif dan relatif dalam sejarah. Subjektif dan relatif adalah dua perkara yang berlainan tetapi sangat rapat perkaitannya dengan diri, pendirian, sudut pandangan, ideologi, orientasi dan budaya seorang sejarawan. Dari segi ini, hal ini boleh menimbulkan bias dan sikap berat sebelah seorang sejarawan dalam memaparkan suatu peristiwa sejarah itu. Dari sudut yang ekstrem, bias boleh menjadi penyelewengan, penipuan dan pemalsuan fakta atau penyelewengan sejarah. R.V. Daniels mengingatkan kemungkinan ini dengan mengatakan bahawa “ ada kalanya bias menolong penulis melakukan penipuan dan pemalsuan”. Misalnya, “Protocols of the Elders of Zion” yang keji telah diada-adakan pada awal tahun 1900-an, dan telah menimbulkan kekejaman tidak terhingga[16].
Namun dari segi yang lebih rasional dan terkawal pula, konsep subjektif dan relatif itu tidaklah semestinya bersifat ekstrem. Konsep ini merupakan sesuatu yang lazimnya berkaitan dengan perkara-perkara seperti budaya, ideologi dan sebagainya seperti yang telah dinyatakan tadi. Misalnya dalam peristiwa sejarah yang penting, seseorang itu (sejawaran atau bukan) secara lumrahnya akan memilih serta menganggap peristiwa-peristiwa itu sebagai lebih penting daripada apa yang berlaku pada orang, masyarakat atau negara lain. Ataupun dari sudut parti dan ideologi politik, maka lazimnya ahli-ahli serta penganut-penganut  (termasuklah sejarawan) akan melihat serta menganalisis sesuatu peristiwa yang berkaitan mengikut kepentingan dan pengertian parti dan ideologi politik mereka. Hal seperti ini boleh berlaku kerana sebahagian daripada sejarah itu berkaitan dengan manusia, persekitaran. masyarakat, budaya, negara dan peradabannya. Kita tentu bersetuju apabila E.H.Carr mengatakan bahawa “terdapat banyak perbezaan antara orang Amerika, Rusia dan orang India”[17]. Barangkali perbezaan ini akan merangkumi pula sejarawan-sejarawannya. Seperti kata E.H. Carr lagi bahawa “masyarakat dan individu tidak boleh dipisahkan dan ahli sejarah adalah seorang individu. Seperti individu lain, dia juga adalah gejala sosial, hasil dan jurucakap secara sedar dan tidak sedar bagi masyarakatnya. Dalam kedudukan inilah dia mendekati fakta-fakta lampau sejarah”[18]
Hujah-hujah seperti ini memang boleh diterima, namun seseorang itu harus juga melihat serta memikirkannya dari sudut yang boleh menimbulkan bias yang ekstrem. Ertinya, konsep-konsep subjektif dan relatif itu mestilah sesuatu yang mempunyai nilai kesejarahan dan kebenaran kepada kesejarahan itu. Tidak wajar bagi sejarawan untuk menulis atau menganalisis suatu sejarah itu mengikut kemahuan dan kepentingan pihak tertentu. Sejarawan mesti mempunyai rasa tanggungjawab dan telus terhadap penulisannya[19].
Walau bagaimanapun, penulisan subjektif dianggap sesuatu yang penting dan unggul kerana ia menjadi lumrah manusia untuk memilih sesuatu yang digemari atau disukainya. Hal ini bermakna setiap generasi dapat menginterpretasikan pandangan mereka tentang peristiwa sejarah yang berlaku melalui penulisan dengan cara dan pendekatan mereka sendiri. Justeru, kajian sejarah itu akan lebih menarik untuk dibaca[20].
Subjektiviti itu merupakan suatu yang hakiki. Hakikatnya, dalam kajian sejarah, tidak dapat dipastikan hubungan sentimental antara sejarawan dan bahan kajiannya. Namun begitu, kajian yang dipengaruhi oleh unsur-unsur subjek ini harus mempunyai kawalan agar ia tidak terlalu cenderung kearah tertentu, seperti memenuhi tuntutan tertentu. Penulisan sejarah secara subjektif sebenarnya akan meningkatkan kemajuan dalam penulisan sejarah. Ini kerana para sejarawan mempunyai kebebasan untuk menginterpretasikan peristiwa sejarah mengikut pandangan mereka. Ini akan melahirkan pelbagai gaya persembahan dalam penulisan sejarah. Secara tidak langsung, sejarawan akan mempunyai persaingan sesama mereka untuk menghasilkan penulisan yang berkualiti[21].
Kesimpulan
Terdapat sesetengah sejarawan yang menyokong konsep objektif dalam penulisan sejarah. Para sejarawan ini menyamakan kebenaran sejarah seperti kebenaran Sains, yang mutlak dan tidak boleh dipersoalkan. Para sejarawan yang menghasilkan penulisan sejarah secara objektif antaranya ialah Thucydides dan Herodotus, dan mereka yang mendukung aliran ini, dikenali sebagai ‘objektivis’. Akan tetapi, agak sukar untuk memastikan kebenaran sejarah itu sepenuhnya objektif dan tidak berubah kerana sejarah tidak sama dengan ilmu Sains yang objektif/mutlak kebenarannya. Ini kerana sejarah sebenarnya bersifat subjektif, iaitu sentiasa boleh berubah kebenarannya berdasarkan kepada bukti-bukti yang dijumpai. konsep subjektif ini pula lebih kepada kebebasan dalam menyatakan kebenaran sejarah yang dikaji. Sejarah yang dikaji itu diulas berdasarkan bukti/tarikh/sumber yang berkaitan dengannya tetapi penulis mempunyai kebebasan mentafsir sejarah itu mengikut pandangannya sendiri sehingga kadangkala boleh menimbulkan bias atau penyelewengan dalam penulisan sejarah. Contohnya, "protocols of the elder of Zion" yang sengaja diada-adakan. Apabila penulisan sejarah bersifat subjektif, ketelusan suatu penulisan sejarawan itu bergantung kepada nilai moral dan tanggungjawab mereka supaya tidak menyeleweng dan bias dalam penulisan. Gaya penulisan sejarah secara subjektif ini dapat menghasilkan pelbagai bentuk penulisan sejarah. Ia secara tidak langsung menjadikan sejarah sebagai bahan yang menarik dan berkualiti untuk dihayati oleh pembaca.
Kedua-dua konsep ini (objektif dan subjektif) mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing. Walau bagaimanapun, konsep subjektif dan objektif ini tetap bersandarkan kepada fakta sejarah yang sentiasa mementingkan kebenaran. 

BIBLIOGRAFI
Muhd. Yusof Ibrahim, 2013. Ilmu Sejarah:Falsafah, Pengertian, Kaedah dan Pensejarahan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ishak Saat, 2010. Penulisan Sejarah. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.




[1] Nabir Hj.Abdullah, Ishak Saat, Fairisa Othman. Kaedah Penyelidikan & Penulisan Sejarah. 2013. Hlm.11
[2] Ishak Saat. Penulisan Sejarah. 2010. Hlm. 94
[3] Muhd. Yusof Ibrahim dan Mahayudin Hj. Yahaya, Sejarawan dan Pensejarahan, hlm. 231
[4] Dalam perkataan Abdullah sendiri, “seorang sahabatku, iaitu orang putih yang kukasihi akan dia”. Lihat R.A. Datuk Beser dan R. Roolvink. 1953.
[5] Muhd. Yusof Ibrahim. Ilmu Sejarah; Falsafah Pengertian Kaedah dan Pensejarahan edisi ke-2. 2013. Hlm. 246
[6] Muhd. Yusof Ibrahim. Ilmu Sejarah; Falsafah Pengertian Kaedah dan Pensejarahan edisi ke-2. 2013. Hlm. 247
[7] Muhd. Yusof Ibrahim. Ilmu Sejarah; Falsafah Pengertian Kaedah dan Pensejarahan edisi ke-2. 2013. Hlm. 247
[8] Muhd. Yusof Ibrahim dan Mahayudin Hj. Yahaya, Sejarawan dan Pensejarahan, hlm. 182
[9] Muhd. Yusof Ibrahim. Ilmu Sejarah; Falsafah Pengertian Kaedah dan Pensejarahan edisi ke-2. 2013. Hlm.248
[10] Muhd. Yusof Ibrahim. Ilmu Sejarah; Falsafah Pengertian Kaedah dan Pensejarahan edisi ke-2. 2013. Hlm.249
[11] Muhd. Yusof Ibrahim. Ilmu Sejarah; Falsafah Pengertian Kaedah dan Pensejarahan edisi ke-2. 2013. Hlm.250
[12] Lihat Albert Memmi. The Colonizer and the Colonized. Hlm. 79 – 85, Hlm. 95 – 97, Hlm. 102 – 105
[13] Muhd. Yusof Ibrahim. Ilmu Sejarah; Falsafah Pengertian Kaedah dan Pensejarahan edisi ke-2. 2013. Hlm.251
[14] Muhd. Yusof Ibrahim. Ilmu Sejarah; Falsafah Pengertian Kaedah dan Pensejarahan edisi ke-2. 2013. Hlm.252
[15] Muhd. Yusof Ibrahim. Ilmu Sejarah; Falsafah Pengertian Kaedah dan Pensejarahan edisi ke-2. 2013. Hlm.253
[16] Muhd. Yusof Ibrahim. Ilmu Sejarah; Falsafah Pengertian Kaedah dan Pensejarahan edisi ke-2. 2013. Hlm.254
[17] Carr, E.H., Apakah Sejarah, hlm. 31.
[18] Ibid., hlm. 29 dan 34.
[19] Muhd. Yusof Ibrahim. Ilmu Sejarah; Falsafah Pengertian Kaedah dan Pensejarahan edisi ke-2. 2013. Hlm.255
[20] Ishak Saat. Penulisan Sejarah. 2010. Hlm. 102
[21] Ishak Saat. Penulisan Sejarah. 2010. Hlm. 102 - 105

No comments: